PELAKON popular, Nora Danish yang sebelum ini aktif dalam pelbagai bisnes termasuk terbaru, Karva, seolah memberi bayangan dia akan meninggalkan dunia seni untuk memberi fokus dalam perniagaan.

Nora yang cukup popular dengan drama bersiri, Puteri, sebaliknya mengakui bidang seni masih penting pada dirinya meskipun semakin sibuk dengan bisnes.

"Bagi Nora, dunia seni itu sama penting. Sebagai selebriti saya memerlukan populariti untuk kekal dalam bisnes yang diceburi lagipun berlakon adalah minat saya, jadi belum masa untuk tinggalkannya," katanya.

Terbaru, Nora melancarkan bisnes salon kecantikan, Karva di Desa Pandan, Kuala Lumpur yang memfokuskan rawatan kecantikan untuk golongan wanita khususnya muslimah.

Nora memberitahu dia akan kembali berlakon drama bersiri selepas Aidilfitri nanti.

"Sudah lama saya tidak berlakon drama di TV sebab sebelum ini terbabit dengan filem di Indonesia dan sebagainya.

"Kali ini saya nak fokus pada drama TV khas buat peminat yang sentiasa menyokong saya di televisyen," katanya.

Akuinya, dia memilih watak yang sesuai yang boleh memberi impak pada penonton terhadap lakonannya kali ini.

"Sebenarnya, berlakon TV dan filem memberi dua impak berbeza. Macam filem tidak semua orang menonton filem tapi di TV, kebanyakan orang menontonnya.

"Macam Nora walaupun banyak berlakon filem tapi peminat bertanya dah tak berlakon drama ke? Jadi, saya rasa perlu sekali sekala muncul di TV menunjukkan saya masih ada dalam industri ini.

"Dari segi watak dalam lakonan, untuk filem ia terlalu ‘limited’ untuk bakat tapi di TV agak lama, jadi boleh asah bakat lakonan kembali," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: Astro Gempak