Walaupun kerajaan telah mengeluarkan prosedur operasi standard membenarkan aktiviti penggambaran drama dan filem dalam tempoh PKP, namun bagi Erma Fatima harga nyawa itu lebih berharga.

Pengarah dan pelakon itu berkata, konsepnya mudah iaitu selagi tiada vaksin atau penawar untuk jangkitan COVID-19 maka virus tersebut masih berkeliaran dan mengancam nyawa semua termasuk dirinya.

"Ya memang ada SOP tapi COVID-19 masih ada malah peningkatan kes walaupun dalam kalangan warga asing. Jadi virus itu masih ada tetapi vaksin belum ada.

"Saya anggap virus masih berkeliaran dan nyawa masih terancam, jadi buat apa saya mempertaruhkan nyawa orang lain termasuk nyawa saya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.


Ketika diminta mengulas mengenai kejayaan drama dalam talian berjudul Lock In yang disiarkan di saluran Youtube dan Instagram, Erma Fatima yang popular dengan karakter Mak Cun memberitahu, beliau tidak menyangka ramai menonton dan menyukai karyanya itu.

Katanya, niat awal beliau menghasilkan drama sembilan episod itu hanya sekadar suka-suka dengan adiknya, Umie Aida selepas menonton sebuah promosi pendek daripada pelakon di India.

"Jadi saya fikir kenapa tidak kita buat begini dalam rumah berbeza dan tak sangka ia berjaya tetapi sebab saya masih ingin menjaga kualiti daripada segi kualiti video.

"Konsep untuk drama Lock In 2 masih sama iaitu rakam di rumah masing-masing dan cuma terdapat satu babak dirakam di luar yang melibatkan tiga pelakon iaitu Pak Nil (Aznil Haji Nawawi), Lina Pom Pom (Elly Mazlein) dan Hun Hakim yang mana mereka datang pada hari yang berlainan," katanya.

Tambah Erma, kreativiti setiap pengarah drama atau filem masih boleh diluahkan menerusi konsep yang dilakukannya itu namun ia tidak sihat untuk industri lakonan.

"Kaedah ini pernah diamalkan di Indonesia, tapi ia tak sihat untuk pelakon melakonkan sedemikian, kalau untuk seronok-seronok dan terdesak, kami (pengarah) boleh buat.

"Tapi tak boleh amalkan sistem ini, tak bagus untuk kualiti dan agak sukar jika ada babak pergaduhan atau bersentuhan," katanya.