"Ia bukan sekadar filem, tetapi satu memori indah".

Demikian ujar dua legenda bola sepak negara yang juga anak jati Sabah, James Wong dan Hassan Sani ketika mengulas mengenai filem Ola Bola yang mula ditayangkan di pawagam bermula 28 Januari lalu.

Menurut James, filem Ola Bola seperti mengimbau nostalgia kegemilangan sukan bola sepak negara 30 tahun lalu iaitu sekitar tahun 1980-an.

Bagaimanapun, beliau berkata, filem itu wajar dijadikan sumber motivasi kepada generasi muda untuk lebih berdisiplin serta berdedikasi jika mahu berjaya dalam hidup.

Katanya lagi, beliau turut berbesar hati apabila filem Ola Bola itu jelas menunjukkan masih ada pihak yang mengingati sumbangan mereka.

"Memang ia mengembalikan memori 30 tahun yang lalu dan sumbangan kami kepada negara diselubungi pelbagai memori indah.

"Kami mahu memberi inspirasi kepada generasi muda di mana apa sahaja yang dilakukan dalam kehidupan ini perlu ada keyakinan selain berdedikasi dan berdisiplin," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, bagi Hassan pula filem Ola Bola telah mengembalikan kenangan manis bersama rakan sepasukan ketika berjuang untuk negara.

Katanya, beliau gembira apabila filem yang ditayangkan di panggung wayang itu memaparkan zaman kegemilangan sukan bola sepak negara sekitar era 80-an.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pengarah filem ini yang berjaya mengembalikan memori serta mengingatkan kita 30 tahun dahulu.

"Saya bukan sahaja terkejut filem ini dihasilkan tetapi apa yang ditayangkan dalam filem itu mengingatkan kita 30 tahun dahulu dan apa yang berjaya dikecapi Malaysia satu masa dahulu," katanya.

Ola Bola adalah filem terbitan Astro Shaw yang diarahkan Chiu Keng Guan.

Ia mengisah kegemilangan pasukan bola sepak negara yang berjaya melangkah ke Sukan Olimpik Moscow pada 1980.