Ola Bola The Musical telah melancarkan single, Ola Bola The Musical bertajuk ‘I Cover You’ yang diberi nafas baharu sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 pada 31 Ogos ini.

Dinyanyikan oleh Sarjan Ahmad, (watak yang dibawakan oleh penyanyi dan komposer Altimet) lagu berentak hip-hop itu turut membariskan pelakon muzikal popular arahan Puan Seri Tiara Jacquelina.

Ia turut mengetengahkan pelakon Nabila Huda yang memegang watak Dumilah dalam pementasan yang berlangsung di Istana Budaya pada Mac lalu.

Nabila menerusi akaun Instagram miliknya, @kupu-kupu memuat naik klip video berkenaan yang berdurasi sekitar 3 minit.


Dalam pada itu, teater Ola Bola The Musical juga akan menjelajah ke empat buah negeri dengan pementasan secara percuma di Pulau Pinang, Kuching (Sarawak), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuantan (Pahang) sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Pementasan Ola Bola Merdeka Tour membabitkan pementasan versi penuh di Kuching manakala, penonton di Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Kuantan akan menyaksikan versi ‘showcase’ selama satu jam.

Teater terbitan Enfiniti (M) Sdn Bhd itu akan dipentaskan di Majestic Theatre, Pulau Pinang pada 31 Ogos, Stadium Perpaduan, Kuching (6 hingga 8 September), Kompleks JKKN, Kota Kinabalu, (16 September) dan Auditorium Darul Makmur, RTM, Kuantan, (21 September).