ANUGERAH Akademi ke-88, atau Oscar, baharu sahaja melabuhkan tirainya. Seperti tahun-tahun sebelumnya, anugerah yang disifatkan paling berprestij di kalangan penggiat filem itu dinanti-nantikan dan mendapat perhatian ramai.

Berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, ia dimulakan dengan acara Karpet Merah, dan antara yang paling menonjol adalah Brie Larson, Cate Blanchett, Charlize Theron, Lady Gaga dan Julianne Moore.

BACA: #Oscars2016: Lapor Langsung Anugerah Akademi ke-88

Tatkala isu perkauman dimainkan sesetengah pihak, pemilihan Chris Rock sebagai hos dilihat sangat tepat. Meluangkan masa hampir lima minit untuk bermonolog tentang isu tersebut, Rock wajar dipuji kerana berjaya 'menyatukan' penonton dengan gaya dan penyampaiannya yang bersahaja.

Spotlight menjadi penerima terawal Oscar apabila penulis lakon layarnya, Tom Mc Carthy & Josh Singer diumumkan sebagai pemenang kategori pertama, Lakon Layar Asal Terbaik.

BACA: Trivia nombor menjelang Anugerah Oscar ke-88

Beberapa anugerah yang diumumkan selepas itu menyaksikan penonton seolah-olah mendapat 'gambaran awal' penguasaan filem Mad Max (Fury Road).

Namun begitu, tanggapan itu tidak menjadi kenyataan kerana filem Spotlight membuat kejutan apabila dinobatkan Filem Terbaik.

Spotlight mengisahkan tentang cabaran yang dihadapi sekumpulan wartawan penyiasatan ketika membuat laporan dan siasatan kes penderaan seksual kanak-kanak di bandar Boston, Amerika Syarikat. Ia diadaptasi dari kisah benar kumpulan penyiasat yang dikenali sebagai Pasukan Spotlight yang bertugas bersama akhbar The Globe.

Turut mencipta kejutan adalah kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik apabila Mark Rylance, menerusi lakonannya dalam filem Bridge of Spies, menewaskan calon kegemaran, Sylvester Stallone dalam filem Creed.

Tidak lengkap jika tidak menyebut kemenangan Leonardo Dicaprio sebagai Pelakon Lelaki Terbaik. Penantian lebih 20 tahun akhirnya berbaloi apabila dia akhirnya mendakap trofi Oscar melalui lakonan hebatnya dalam The Revenant.

Lakonan mantap dalam The Revenant akhirnya membuahkan hasil buat Dicaprio apabila dinobat Pelakon Lelaki Terbaik.

Dalam ucapannya, Dicaprio membawa perhatian dunia kepada masalah perubahan cuaca yang kini melanda dunia.

Dia sebelum ini, pernah dicalonkan dalam kategori tersebut sebanyak empat kali.

Lady Gaga membuktikan dia seorang penghibur dalam kelas tersendiri apabila membawa puluhan bekas mangsa rogol ke pentas bersamanya. Mesej Gaga jelas diperdengarkan ketika menyampaikan lagu Til It Happens to You.

Watak isteri kepada transeksual bawa tuah buat Alicia Vikander.

Antara nama lain yang turut diangkat sebagai pemenang tahun ini adalah Alicia Vikander (Pelakon Pembantu Wanita Terbaik) dan Brie Larson (Pelakon Wanita Terbaik).

Lagu tema filem Spectre, Writing's On the Wall, nyanyian Sam Smith dinobatkan sebagai Lagu Tema Terbaik, manakala filem dari Hungary, Son of Saul, diumumkan sebagai Filem Bahasa Asing Terbaik.