Tutup

Otai berkumpul dalam All Stars, sasar penyertaan 50 'rockers'

Otai berkumpul dalam All Stars, sasar penyertaan 50 'rockers'
Depan, dari kiri, Black Wings, Umarul Iklim, Omar Akira, Eddie CRK dan Oney Lipan Bara ketika ditemui pada sesi latihan di Sri Rampai baru-baru ini. - Astro AWANI/RAJA HISYAM
KUALA LUMPUR: Bermula dengan perbincangan di kedai kopi, beberapa artis rock yang masyhur satu ketika dulu kini bergabung dan menubuhkan kumpulan yang dinamakan All Stars.

Setakat ini, tujuh old timers atau 'otai' ini, telah bersetuju menganggotai All Stars tetapi pada masa sama akan tetap meneruskan komitmen bersama kumpulan asal mereka.

Mereka terdiri daripada Umarul Iklim, Black Wings, Eddie CRK, Omar Akira, Oney Lipan Bara, Eddie Wings dan Zua XPDC.

Asas penubuhannya adalah untuk menjadikan All Stars sebagai satu platform kepada mana-mana artis lama dalam industri muzik rock yang mungkin berdepan pelbagai masalah untuk kembali menyinar.
“Kita sedia maklum, mana-mana kumpulan yang penyanyinya keluar, agak sukar bagi anggota lain untuk meneruskan perjuangan. Mereka mungkin berdepan kesukaran mendapatkan job untuk persembahan di mana-mana. Begitu juga dengan penyanyi.

"Jadi, dengan adanya All Stars ini, kita boleh kumpulkan seberapa ramai anggota untuk saling bantu membantu. Mana-mana pihak yang mahu kami adakan persembahan, boleh pilih artis mana yang mereka mahu," kata Umarul.
Menurutnya, hasil daripada persembahan mereka akan dibahagikan kepada sesama anggota yang ada.




Sementara itu, Omar menjelaskan, All Stars yang ditubuhkan kira-kira sebulan yang lalu, menyasarkan untuk mengumpulkan 50 artis di bawah naungannya.

Bagi bekas gitaris kumpulan rock Laksamana ini, yang merupakan antara tunjang belakang All Stars, penubuhan kumpulan ini amat kena pada masanya dalam keadaan industri yang tidak menentu ketika ini.

“All Stars tidak akan mengikat mereka yang mahu terlibat. Malah, kami akan sentiasa berikan galakan. Hanya jika mereka ada ruang dan masa untuk bermain bersama kami, kami akan berikan peluang tersebut,” kata Omar.

Black yang turut ditemui ketika kumpulan itu menjalani sesi latihan di Sri Rampai di sini baru-baru ini berkata, dia berasa terpanggil untuk turut sama membantu dalam menjayakan persembahan All Stars walaupun masih lagi menjadi anggota Wings. 

Beberapa ahli kumpulan All Stars menghadiri sesi latihan di Sri Rampai baru-baru ini. Astro AWANI/RAJA HISYAM

Ini kerana, katanya, ia platform yang baik untuk diketengahkan, bagi mana-mana artis dalam industri yang mungkin memerlukan sokongan.

"Perjalanan kita sebenarnya masih lagi jauh. Banyak yang hendak kita lakukan. Dan yang paling penting adalah, tujuan kita untuk sama-sama membantu. Dan, Alhamdulillah setakat ini kita mendapat sokongan daripada rakan-rakan yang lain.

"Kita turut mendapat panggilan rakan-rakan yang kurang bernasib baik seperti Yazid Search, daripada promoter, juga karyawan yang menyatakan minat mereka," kata Black.

Walaupun baru ditubuhkan, All Stars setakat ini telah menerima banyak tempahan untuk mengadakan persembahan di sekitar bandar raya Kuala Lumpur.