Penubuhan pawagam komuniti di Kelantan bakal mempromosikan budaya menonton wayang untuk semua lapisan masyarakat di negeri itu.

Ia sekali gus diibaratkan sebuah perpustakaan audio visual yang memiliki pengisian dan mampu menjana pengetahuan masyarakat setempat.

Pada dasarnya idea itu sebenarnya dicetuskan pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan kerajaan sendiri.

Walaupun diakui ada peraturan kerajaan negeri yang harus diikuti, ia disifatkan beberapa penggiat seni sebagai langkah yang harus dipandang positif untuk kebaikan masyarakat negeri itu.

Bagi pelakon Syed Kamaruzaman Syed Mahmud atau lebih dikenali sebagai Syed Aiman, penubuhan panggung komuniti itu akan mengembangkan tahap kreativiti penggiat seni di Kelantan.

"Ia platform untuk meluahkan idea, tenaga dan kreativiti mereka sendiri. Mereka boleh mengembangkan kepakaran dan kebolehan masing-masing di negeri sendiri tanpa perlu pergi ke Kuala Lumpur untuk berkarya," jelasnya.

Jelasnya lagi, pawagam ini juga disifatkan memberi keutamaan untuk memastikan sesebuah komuniti boleh menonton wayang mengikut kemampuan rakyat.

Ia dilihat mampu direalisasikan dengan bercirikan infrastruktur asas yang sentiasa patuh dengan peraturan yang ditetapkan oleh pentadbir di bahagian negeri Kelantan sendiri.

Bagi pengurus artis, Nik Mohd Radhi Nik Abdullah, beberapa pembaharuan dalam era panggung harus direalisasikan walaupun nampak kekok pada awalnya.

"Kalau hendak juga, perlu ada panggung wayang perempuan iaitu muslimah dan satu lagi untuk lelaki iaitu muslimat. Tidak perlu dicampur dan apabila menonton seharusnya gelap. Apabila panggung tidak bercampur maka ia boleh diadakan," ujarnya.

Nik Mohd Radhi yang terlibat secara langsung di dalam filem berkaitan pasukan bola sepak Kelantan, Jejak Warrior turut mengakui filem berkenaan kurang mendapat sambutan kerana ia ditayangkan di luar negeri itu.

Sementara itu, pelakon dan pengarah, Pekin Ibrahim mahu penubuhan panggung komuniti dilihat usaha positif dan sudah patut diadakan dengan ciri-ciri Islam sendiri.

Jelasnya, penyediaan kamera litar tertutup (CCTV) mungkin boleh membantu selain tidak meminggirkan bakat kreativiti penggiat seni dari Kelantan.

"Kalau panggung komuniti diadakan kelak, seharusnya tidak timbul sebarang masalah kerana masyarakat mahu melihat karya seni dan bukan melakukan perkara negatif. Jangan diberi penekanan isu negatif dan berfikiran sempit mengenai isu ini," jelasnya.

Katanya lagi, budaya masyarakat Kelantan yang selama ini menjadi tarikan pelancong akan diabadikan di dalam hasil karya seni di dalam kisah yang akan ditayangkan di pawagam.

Pekin juga mengakui warga emas di negeri itu pasti akan gembira dengan penubuhan panggung di negeri itu sekali gus tidak perlu bersusah-payah ke luar Kelantan untuk menonton wayang.

Dalam pada itu, penerbit dan pengarah, Datuk T.S. Jeffry menjelaskan, penubuhan semula panggung di negeri itu mengembalikan semula kenangan selepas ketiadaan hiburan itu sejak hampir 30 tahun lalu.

"Dahulu ada panggung di Kelantan namun kini tiada lagi. Ia bukan sekadar hiburan tetapi memberi informasi dan ilmu. Ia ada mesej kesedaran dan bukan seperti filem barat," ujarnya.

Ia disokong Timbalan Pengerusi Biro Penerangan dan Aduan, Persatuan Anak-Anak Kelantan Darul Naim, Wan Syahrul Amry Wan Mansor yang menjelaskan, isu itu mendapat sokongan selepas pihaknya membuat kaji selidik di laman sosial.

"Sudah tiba masa ia diadakan, ideanya sudah ada dan Kelantan tidak ada panggung sehingga hari ini.

"Isu persepsi yang menganggap tempat itu tidak baik seharusnya diperjelaskan, kita sudah ada pelbagai teknologi dan seharusnya pawagam ini dijadikan satu keperluan asas yang menjadi tempat beriadah bersama keluarga. Ia juga akan dikawal selia oleh mereka yang layak dan pakar dalam pengisian kandungannya sendiri," ujarnya.

Sebelum ini Wan Syahrul Amry menegaskan pawagam yang patuh syariah dan bersifat kekeluargaan itu bakal memberi nilai tambah kepada institusi kekeluargaan di negeri itu.