'Paskal' diiktiraf filem Malaysia 2018 paling tinggi terima rating IMDb

'Paskal' diiktiraf filem Malaysia 2018 paling tinggi terima rating IMDb
Filem aksi yang berunsurkan patriotik itu berada di kedudukan teratas dengan skor 8.4 daripada 10 dan menjadikan filem berkenaan sebagai filem tempatan yang memiliki skor rating tertinggi di laman tersebut. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: FILEM Paskal The Movie terus mencatat kejayaannya tersendiri apabila filem tersebut diumumkan sebagai filem Malaysia tahun 2018 yang menerima skor rating paling tinggi di laman web Internet Movie Database (IMDb.com).

Filem aksi yang berunsurkan patriotik itu berada di kedudukan teratas dengan skor 8.4 daripada 10 dan menjadikan filem berkenaan sebagai filem tempatan yang memiliki skor rating tertinggi di laman tersebut.  


Terdahulu, filem arahan P. Ramlee iaitu Tiga Abdul dan filem Do Re Mi juga antara filem tempatan yang berada di kedudukan teratas di laman web berkenaan dengan masing-masing menerima skor rating 8.0 dan 8.1.

Diarahkan oleh Adrian Teh, Paskal The Movie merupakan filem aksi yang wajib ditonton oleh semua rakyat Malaysia kerana filem tersebut penuh dengan aksi yang mendebarkan serta mempunyai jalan cerita yang menyentuh emosi penonton.

Paskal The Movie berkisar tentang pengorbanan Leftenan Komander Arman Anwar yang tidak mendapat restu ibunya dalam menjadi seorang anggota Pasukan Khas Laut (Paskal), selain tertumpu pada kisah kejayaan pasukan elit itu dalam Misi Pengaman PBB di Angola pada 1998 serta misi merampas kapal dagang MT Bunga Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.

Diinspirasikan dari kisah benar, filem ini dibarisi oleh pelakon-pelakon hebat antaranya ialah Hairul Azreen, Ammar Alfian, Hafizul Kamal, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Theeban G, Henley Hii, Jasmine Suraya Chin dan ramai lagi.

Sebelum ini, filem Paskal The Movie yang menelan belanja hampir RM10 juta itu telah berjaya mengaut kutipan RM22 juta dalam tempoh 18 hari ditayangkan.


Tag: filem, rakyat Malaysia, IMDb, PASKAL, Pasukan Khas Laut, Hairul Azreen, Jasmine Suraya Chin, PASKAL The Movie


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.