Sangat mendebarkan dan penuh emosi!

Ini perasaan penulis ketika menonton filem PASKAL sewaktu majlis pra-tonton yang diadakan di ibu negara, baru-baru ini.

Diarahkan oleh Adrian Teh, PASKAL merupakan filem aksi yang perlu ditonton semua rakyat Malaysia. Penuh dengan emosi dan juga aksi-aksi yang sangat mencemaskan, filem ini juga menjamukan lawak ringan yang mampu membuat anda tersenyum.

Kru penggambaran juga turut memastikan hampir kesemua adegan yang membabitkan penggunaan peluru hidup adalah sebenar.

Teh turut mendedahkan setiap detik penggambaran pakar senjata dan pegawai PASKAL berada di lokasi untuk memastikan penggunaan senjata dan bahan api dalam filem tersebut tidak tersasar.

Antara babak dalam filem PASKAL

Adrian turut berkata Paskal bukan sahaja akan ditayangkan di Malaysia malah akan ke beberapa buah negara lain termasuk Singapura, China, Brunei dan Turki.

"Ia akan ditayangkan di Singapura, Brunei, Turki dan China," kata Adrian semasa sidang media selepas majlis berkenaan.

Filem ini merupakan filem yang diadaptasi dari kisah kejayaan PASKAL mengangkat pasukan unit khas dalam organisasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau lebih dikenali sebagai Pasukan Khas Laut (PASKAL) akan memberikan anda satu kelainan dan keterujaan semasa menonton filem ini.

Menelan belanja hampir RM10 juta telah dibarisi oleh pelakon-pelakon hebat antaranya Hairul Azreen, Ammar Alfian, Henley Hii, Theebaan G dan ramai lagi.

PASKAL mengisahkan tentang pengorbanan Leftenan Komander Arman Anwar yang tidak mendapat restu ibunya dalam menjadi seorang anggota Pasukan Khas Laut ( Paskal ).

Namun, apabila rakan sepasukannya terkorban dan seorang lagi diberhentikan, Arman membuat keputusan untuk berhenti namun dia terhimpit dengan misi terakhir yang perlu diselesaikan.