TIADA apa yang diharapkan oleh aktor Ashraf Muslim selain daripada doa yang baik-baik daripada orang ramai berikutan dia antara mangsa pandemik COVID-19.

Selain mendoakan dia diberi kesembuhan, Ashraf juga mengharapkan masyarakat akan turut memanjatkan doa yang sama buat pesakit-pesakit yang senasib dengannya.

Kata Ashraf, dia menerima berita sedih itu pada 12 April lalu.

Ketika itu, Ashraf hanya mampu menahan sebak dan menerima keputusan yang di luar dugaan dengan penuh redha.

"Saya dijangkiti virus COVID-19. Sewaktu itu walaupun sebak di dada bila mendapat tahu jawapan tapi saya redha dgn pilihan Allah.. ada hikmah di sebaliknya.

"Datang perasaan nervous dan macam-macam perasaan timbul bila masuk dalam ambulance.. . (itu yang sampai berpeluh-peluh tu). Maafkan saya ahli keluargaku, sahabat-sahabat dan rakan-rakanku.

"Dan please tolong doakan yg baik utk saya dan pesakit-pesakit disini dan juga kita semua, semoga Allah jauhkan wabak ini dan tidak berterusan lagi serta sihatkan kita semua," kata Ashraf dalam entri yang dimuat naik di akaun Instagram peribadinya pada Rabu.




Dalam entri berkenaan, Ashraf juga memohon maaf kepada semua rakan wartawan yang berusaha menghubunginya sebelum ini bagi mendapatkan kepastian mengenai berita duka ini.

Kesempatan yang sama diambil Ashraf dengan merakamkan penghargaan kepada barisan hadapan iaitu petugas-petugas kesihatan yang bertungkus-lumus merawat pesakit-pesakit COVID-19.

Ashraf sifatkan mereka sebagai hero.

Tanpa memaklumkan di hospital mana dia dirawat, Ashraf, sebaliknya berkata, sepanjang dirawat di wad, dia berada dalam keadaan yang sihat serta berpeluang melaksanakan ibadah seperti solat dan membaca Al-Quran.

"To mama, ibu, Sarah, Adam, Anas dan Safiyyah doakan ayah sungguh-sungguh supaya clear dari COVID ini cepat yer.. supaya kita dapat jumpa ramai-ramai.

"Ayah rindu sangat.. tapi jangan risau yer ayah ok kat sini sihat dan bole solat dan baca quran mcm biasa. Sama-sama kita berperasangka baik pada Allah... hanya DIA yg berikan penyakit dan dari DIA jua yg memberikan kita kesembuhan.. Allahualam," kata Ashraf lagi.