Pelakon drama era 1980-an, Zakaria Yusof, 65, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pagi tadi.

Berita kematian pelakon veteran itu dimaklumkan oleh Persatuan Seniman Malaysia menerusi laman facebook mereka.

Sementara itu, BH Online melaporkan Allahyarham Zakaria yang baru pulang daripada menunaikan ibadat umrah, Rabu lalu, meninggal dunia akibat kompilasi jangkitan kuman pada paru-paru, buah pinggang dan jantung, kira-kira 6.45 pagi.

Allahyarham Zakaria menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri, Fatimah Ali, 65, dan empat orang anak.

Menantu Allahyarham, Rashidah Mohd Yusof memberitahu BH Online, arwah mengadu sakit dada pada sebelah malam selepas tiba di rumah, Rabu lalu.

"Arwah mengadu sesak nafas. Keluarga segera menghubungi ambulans dan menghantarnya ke HKL," katanya seperti dilaporkan BH Online.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran Taman Permata, Hulu Klang, hari ini.