Penonton pastinya tersentuh melihat iklan Tahun Baru Cina 2016 oleh Petronas bertajuk ‘Rubber Boy’ yang membawa cerita seorang ibu dan anaknya yang mengharungi suka duka kehidupan.

Namun, seorang pembikin filem mendakwa idea asalnya telah diciplak oleh syarikat pengiklanan Leo Burnett Malaysia yang menghasilkan iklan itu bagi pihak Petronas.

Perkara ini didedahkan oleh pembikin filem untuk Da Huang Pictures, Tan Chui Mui, menerusi beberapa kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Antaranya, beliau berkata idea itu berdasarkan pengalaman kawan beliau ketika kecil, di mana ibunya seorang penoreh getah.


“Pasukan saya telah memberikan kertas cadangan termasuk senarai pelakon, lokasi, filem rujukan, dan skrip penuh kepada pihak agensi (Leo Burnett). Cadangan itu untuk iklan Tahun Baru Cina Petronas tahun 2015.

“Tahun itu cerita kami tidak dipilih dan tiada iklan Tahun Baru Cina Petronas pada tahun itu.

“Namun, Leo Burnett menggunakan cerita kami untuk iklan Tahun Baru Cina Petronas 2016. Kami sangat terkejut. Ini lebih daripada mencuri jalan cerita kami,” katanya ketika dihubungi pihak Astro AWANI ketika diminta penjelasan lanjut.

Beliau turut menjelaskan bahawa penulis skrip John Cho We Jun dan penerbit Beatrice Leong ada berjumpa dengan pihak Leo Burnett pada bulan Februari.

“Saya tidak hadir ke mesyuarat itu kerana sedang hamil.

“Namun, pasukan saya diberitahu bahawa kami tidak boleh saman pihak Leo Burnett di bawah undang-undang Malaysia.

“Saya pun tidak berminat untuk mengambil tindakan undang-undang kecuali jika ia dapat mengubah industri kreatif.

Tambahnya, sesi pitching merupakan proses yang paling sukar kerana harus menghasilkan idea atau jalan cerita untuk dipersembahkan.

“(Pekerjaan) kami diambil mudah dan juga tidak dibayar ketika proses pitching,” katanya.

‘Idea asal tidak diiktiraf’

Penulis skrip John Cho We Jun meluahkan kekesalan Leo Burnett tidak mahu mengiktiraf bahawa video ‘Rubber Boy’ merupakan dari idea asal Chui Mui.

“Jika tidak silap, idea asal bertajuk ‘Growing Up’. Ia berkisah tentang seorang lelaki yang teringat kembali tentang hubungan beliau dan ibunya, seorang penoreh getah.

“Walaupun ada babak dan tema utama telah bertukar, ia tetap filem yang sama.

“Ia adalah adil untuk mendapatkan pengiktirafan yang sepatutnya untuk pekerjaan kami,” jelasnya.

Tindakan susulan Leo Burnett

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Leo Burnett Group Malaysia Tan Kien Eng telah membalas status Chui Mui.

Katanya, beliau mahu berjumpa Chui Mui untuk memahami situasi ini sebelum mengambil tindakan.

“Saya tidak menyokong plagiarisme. Saya telah menghubungi pasukan saya setelah diberitahu tentang status ini dan penulis Leo Burnett telah menjelaskan sisi beliau.

“Saya ingin berjumpa kedua-dua pihak untuk memahami situasi ini sepenuhnya sebelum mengambil sebarang tindakan,” katanya di Facebook.