PEMILIK suara asal Minnie Mouse meninggal dunia pada usia 75 tahun.

Russi Taylor yang membawa suara watak kartun Disney itu selama lebih 30 tahun meninggal dunia di Glendale California pada Jumaat, menurut kenyataan syarikat Walt Disney.

Taylor turut memberi khidmat alih suara untuk beberapa siri TV, filem dan taman tema animasi yang menampilkan Minnie Mouse sejak tahun 1986.

Mendiang juga merupakan isteri kepada Wayne Allwine yang membawakan suara asal watak Mickey Mouse sehinggalah Allwine meninggal dunia pada tahun 2009.

Selain Minnie Mouse, Taylor juga menyumbang suara kepada salah satu watak dalam The Simpsons iaitu Martin, rakan sekelas Bart Simpson.

Pengerusi dan Ketua Eksekutif Disney, Bob Iger memberi penghormatan terakhir kepada Taylor dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

"Selama lebih dari 30 tahun, Minnie dan Taylor bekerjasama untuk menghiburkan berjuta-juta peminatnya di seluruh dunia - perkongsian yang menjadikan Minnie sebagai ikon global dan Taylor sebuah lagenda Disney yang dikasihi oleh peminat di mana-mana," kata Iger.

Taylor, yang dilahirkan di Cambridge, Massachusetts pada 4 Mei 1944 telah dipilih daripada 200 calon untuk membawa suara Minnie pada satu uji bakat yang diadakan pada tahun 1986.