APAKAH yang mungkin anda lakukan jika bintang pujaan anda marah hanya kerana anda terlalu teruja untuk mengambil gambar selfie bersama? Bagi seorang peminat, dia cuba menarik simpati orang ramai di media sosial.

Itulah yang terjadi pada seorang peminat Shah Rukh Khan di Amsterdam, sewaktu bintang Bollywood itu berada di sebuah lokasi di sana.

Shah Rukh Khan atau juga dikenali dengan panggilan SRK dilaporkan hampir menumbuk seorang peminatnya selepas bintang itu hilang sabar atas perbuatan biadab lelaki tersebut.

Astro Gempak yang memetik laporan Inquisitr melaporkan, kejadian tersebut berlaku ketika pelakon itu mengunjungi ibu negara Belanda untuk menjalani sesi penggambaran filem terbaharunya, The Ring.

Menerusi satu rakaman video yang tersebar, SRK yang hendak berjalan kembali ke kenderaannya, dikerumuni ratusan peminat untuk bergambar.

Bersedia! Shah Rukh Khan semakin dekat. - Foto YouTube

Rakaman video itu menunjukkan walaupun para peminat saling bertolakan untuk bergambar dengan SRK, bintang itu tetap membalasnya dengan senyuman yang manis.

Bagaimanapun, aktor berusia 50 tahun itu akhirnya hilang pertimbangan selepas seorang peminat lelaki tiba-tiba menarik lehernya dengan kasar untuk merakamkan gambar ‘selfie’.

Foto: YouTube

Tidak selesa dengan situasi berkenaan, SRK dengan pantas menolak tangan lelaki tersebut dengan wajah yang marah dan seperti mahu menumbuk lelaki berkenaan.

Foto: YouTube

Dalam kekecohan itu, beberapa pengawal peribadi SRK bertindak menghalang dan menjauhkan peminat itu daripada pelakon tersebut.

Sama ada berasa malu, kecewa atau sedih dengan insiden itu, peminat 'malang' itu kemudiannya merakam riak emosi wajahnya bagaikan sebuah 'drama Bollywood'.

Dia telah merakam reaksi dirinya seolah-olah sedang ‘menangis’ dalam kereta dan juga di rumah susulan insiden berkenaan, seteusnya memuat naik rakaman itu ke media sosial.

Foto: YouTube

Dalam pada itu, menerusi satu temubual bersama portal Deccan Chronicle, SRK menjelaskan dia bertindak demikian kerana peminat itu bersikap tidak matang.

“Peraturan saya mudah saja. Saya sendiri sudah beritahu pengawal peribadi saya bahawa peminat yang berusia di bawah 25 tahun mempunyai hak untuk bersikap kebudak-budakan dan nakal.

“Saya ada anak-anak berusia 16 tahun dan 18 tahun dan mereka lakukan perkara-perkara yang tak boleh buatkan anda marah sehinggalah berusia 25 tahun,” jelasnya.