Jualan tiket presale konsert Westlife The Twenty Tour Live in Malaysia baru sahaja bermula jam 11 pagi tadi, namun ada peminat sudah berkampung di lokasi jualan tiket di Atria Shopping Gallery, sejak jam 4 petang Jumaat.

Tinjauan Astro AWANI mendapati lebih 1,000 peminat sudah bersedia beratur untuk mendapatkan tiket, setengah jam sebelum pre-sale bermula.

Pengarah Eksekutif Macpie Berhad yang bertindak sebagai penganjur, Ang Chee Ciang, memaklumkan, 4,000 keping tiket dijual hari ini, manakala selebihnya akan dijual secara atas talian di laman web mereka, bermula jam 12 tengah hari, 14 April.

"Kami yakin akan jualan tiket akan habis dijual untuk dua tarikh konsert di Malaysia, berdasarkan sambutan yang diberikan.

"Kami mengambil masa kira-kira tiga bulan berunding dengan pihak Westlife, dan kami berbangga dapat membawa mereka kerana kita tahu peminat memang menantikan kehadiran mereka," kata Ang.

Ang juga memberitahu pihak Macpie Berhad sedang berusaha untuk membawa lebih ramai artis popular ke negara ini.

"Kalau ikut trend, ramai artis antarabangsa dari era 90-an akan mengadakan reunion tahun ini. Kami berharap akan dapat membawa mereka ke negara ini kerana permintaan untuk mereka masih ada," tambahnya.

Konsert kumpulan pop terkenal itu akan berlangsung 8 dan 9 Ogos depan di Stadium Melawati, Shah Alam.