Jenazah Allahyarham Datuk Jamil Sulong selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Janda Baik selepas solat Jumaat pukul 4 petang tadi.

Sebelum dikebumikan, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Al-Ghufran Pinggir TTDI untuk disembahyangkan dan dianggarkan seramai 200 orang hadir.

Antara yang hadir ialah rakan seperjuangan Allahyarham seperti Mariani Ismail, Erma Fatima, Aziz M. Osman, Bade Hj Azmi, Harun Salim Bachik dan saudara rapat Allahyarham.

Pengarah filem veteran terkenal itu meninggal dunia pada pukul 9.35 malam tadi di kediaman anaknya di Bukit Utama, Damansara.

Allahyarham dimasukkan ke sebuah hospital pada bulan lalu kerana angin ahmar dan dilaporkan telah koma sejak tiga minggu lalu.

Dilahirkan di Parit Sulong, Batu Pahat pada 6 Ogos 1926, Allahyarham berusia 88 tahun.

Jamil merupakan anak Melayu yang ketiga yang diberi kepercayaan mengarahkan filem Melayu di MFP, Singapura selepas P.Ramlee dan Haji Mahadi.

Filem pertamanya Batu Belah Batu Bertangkup dihasilkan pada tahun 1957 diikuti dengan filem klasik Si Tanggang dan Lela Manja.

Allahyarham merupakan pengarah filem Melayu yang kedua paling banyak mengarah filem, namun filem-filem beliau yang telah merangkul anugerah filem paling banyak di persada antarabangsa.

Antara filem-filemnya yang terkenal termasuk Bidasari, Raja Bersiong, Gerak Kilat, Jiwa Remaja, Sayang Anakku Sayang, Jasmin, dan Ranjau Sepanjang Jalan.

Selain di bidang perfileman, Allahyarham turut dikenali sebagai penulis lirik untuk lagu-lagu nyanyian Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee.

Antara lagu-lagunya termasuk lagu Berkorban Apa Saja, Tiru Macam Saya, Selamat Hari Raya Aidilfitri, Azizah, dan banyak lagi.

Allahyarham menerima gelaran Datuk pada tahun 2001 dan pernah menghasilkan buku memoir bertajuk Kaca Permata yang diterbitkan Dewan Bahasa & Pustaka.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Rosnani Jamil dan tiga cahaya mata iaitu Arjunaidi, Anwardi dan Asnadi.