Warga industri perfileman tempatan menyambut baik saranan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo agar siasatan terhadap isu ketirisan dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dapat disegerakan.

Kes tersebut masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Isnin lalu, Gobind turut memaklumkan dalam satu kenyataan mengenai Pelantikan Pemangku Pengurusan Tertinggi Finas.

Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Shakib Ahmad Shakir dilantik sebagai pemangku Ketua Pengarah Finas menggantikan Datuk Fauzi Ayob manakala Timbalan Setiausaha Bahagian Kewangan, KKMM, Fairul Azida Shahabudin menggantikan Datuk Azmir Saifudin Mutalib memangku jawatan Timbalan Ketua Pengarah berkuat kuasa 8 Oktober 2018.

Pensyarah sambilan filem dan penyiaran berpengalaman yang juga fasilitator bengkel latihan berkaitan industri kreatif, Zaki Abdul Rahim berpandangan adalah wajar untuk SPRM bertindak segera dalam membongkar penyelewengan dalam Finas selama ini.

“Penggiat industri khususnya tertunggu-tunggu siapakah yang mendalangi salah urus jika mereka staf dalaman dan jika ianya membabitkan kroni politik, bawa saja semua mereka ke pengadilan.

“Sejak sekian lama Finas menjadi lubuk emas petualang yang bertopengkan nama penggiat seni sedangkan kaedah memproses pemohonan dan cara agihan dana telah membelakangkan penggiat yang lebih layak,” katanya kepada Astro Gempak.

Ujarnya, hasil siasatan SPRM ini diharapkan akan menjadi titik tolak mewujudkan pakej atau program lebih telus dan adil jika matlamat mahu membangunkan industri.

“Banyak lagi boleh dikaji semula seperti dasar penerbitan, hala tuju, lantikan Lembaga Pengarah, pemasaran antarabangsa, kelayakan panel dana, fungsi Finas dalam penguatkuasaan dan sistem Skim Wajib Tayang.

“Kita tidak mahu wujud sikap pilih kasih dalam penghantaran wakil ke festival atau seminar antarabangsa apatah lagi Finas dianggap tidak berdaya saing termasuk dalam aspek penganjuran bengkel dan banyak lagi harus dilihat semula.

"Bagi menampakkan ketelusan, Finas mesti memberi senarai lengkap penerima dana, tajuk projek, jumlah terimaan dana, bila 'deadline' dan status saluran siaran. Malah, topik dokumentari yang telah diluluskan juga mesti dimaklumkan kerana sebelum ini terlalu banyak topik sama berulangan," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi