Ceria Megastar musim kedua kini kembali dan bakal bermula pada Sabtu, 29 Februari 2020 pada jam 9 malam.

Ia bakal ditayangkan secara langsung di saluran Astro Ceria (611) dan Astro Ceria HD (631) juga turut boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand.

Seramai 20 orang peserta bakal bertanding untuk mempersembahkan bakat masing-masing bagi mendapat tempat juara sekaligus merebut gelaran ‘Megastar’ dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM25,000.

Pemenang tempat kedua dan ketiga juga bakal pulang bersama wang tunai bernilai RM15,000 dan RM10,000 serta trofi sumbangan Astro.

Barisan peserta musim ini bakal menampilkan bakat-bakat yang berbeza. Penonton akan dapat melihat persembahan seperti tarian, lakonan dan macam-macam lagi.

Berbeza dari musim pertama, satu lagi kelainan pada musim kedua ini adalah penyertaan secara berkumpulan dan berseorangan.

Mereka bakal dinilai melalui elemen persembahan, kreativiti, aspek penampilan dan faktor ‘wow’.

Kali ini, program realiti aneka bakat ini akan dikendalikan oleh pengacara dan personaliti terkenal Nabil Ahmad dan Raja Azura.

Juri tetap bagi musim ini pula adalah Zizan Razak dan penyanyi Ernie Zakrie. Setiap minggu, pihak juri boleh menganugerahkan ‘Gold Star’ kepada peserta pilihan mereka.

Juri jemputan profesional pula akan diundang setiap minggu untuk bersama mengadili persembahan oleh para peserta.

Penasihat Persembahan bagi musim kali ini ialah guru vokal terkenal Datuk Syafinaz Selamat dan koreografer dan penari terkenal, Alam Wakaka serta juara Ceria Megastar 2018, Chubb-E. Mereka bertiga memainkan peranan membantu para peserta bersiap sedia sebelum tampil ke pentas utama.

Komposer terkenal, Datuk Acis diberi tanggungjawab sebagai pengarah muzik bagi musim kali ini. Beliau juga merupakan pengarah muzik bagi program Ceria Megastar Ministar musim lalu.

Tidak terlupa juga, lagu tema Ceria Megastar musim ini dipersembahkan oleh mantan peserta Ceria Megastar 2018, Chubb-E dan Vanessa Reynauld.

Program Ceria Megastar kali ini bakal berlangsung selama lapan minggu berturut-turut. Dua episod pertama akan menampilkan kesemua 20 peserta yang bertanding bagi mendapat tempat di pentas utama.

Hanya sepuluh peserta terbaik akan dipilih berdasarkan markah tertinggi yang diadili seratus peratus oleh pihak juri.

Menampilkan bakat-bakat dari latar belakang berlainan, Ceria Megastar musim kali ini akan ditayangkan secara langsung di saluran Astro Ceria (611) dan Astro Ceria HD (631) serta turut boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand.