DENGAN sekali lafaz, ahli perniagaan Nurida Suraya, 30, sah bergelar isteri kepada pereka fesyen terkenal tanah air Rizman Nordin, 35, kira-kira jam 10.30 pagi tadi (Jumaat).

Majlis akad nikah diadakan di ruang acara Glasshouse Seputeh, Kuala Lumpur pada pagi Jumaat dan dihadiri oleh teman-teman rapat dan rakan selebriti.

Rizman menyerahkan mas kahwin RM300 dan sebentuk cincin, namun jumlah wang hantaran dirahsiakan.

Pengantin lelaki turut menyerahkan lima dulang hantaran yang antaranya terdiri daripada seutas rantai dan sepasang anting-anting berjenama Chopard, senaskah Al-Quran dan sirih junjung.

Nurida kemudiannya membalas tujuh dulang hantaran yang terdiri daripada manisan, sirih junjung, sejadah, sepasang jam tangan, hiasan kristal dan dua lagi barangan lain.

Rakan perniagaan Rizman, iaitu Ruzaini turut hadir dan bertindak sebagai saksi ketika akad nikah berlangsung.

Rizman gagal menahan sebak sebaik sahaja sah bergelar suami kepada Nurida.

Antara rakan selebriti yang hadir pada majlis tersebut ialah sahabat baik Rizman dan Ruzaini, pelakon Nur Fazura, Erra Fazira, penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami serta pereka fesyen Hatta Dolmat.

Majlis resepsi di sebelah pengantin perempuan bakal berlangsung pada malam ini manakala resepsi kedua (sebelah pengantin lelaki) akan diadakan di Pulau Pinang, Ahad ini.

Sementara itu, resepsi ketiga pula akan diadakan di Hotel St. Regis, Kuala Lumpur pada Ahad, 22 September.

Rizman dan isteri memilih untuk berbulan madu sebaik sahaja selesai majlis resepsi ketiga nanti.

Pasangan sama cantik sama padan ini mengikat tali pertunangan pada 6 Jun lalu selepas satu tahun mengenali hati budi masing-masing.