Pengendali media sosial yang terdiri daripada individu, syarikat atau produksi dilihat tidak sesuai untuk mewajibkan mereka mendapatkan Lesen Pengeluaran Filem serta Surat Perakuan Penggambaran (SPP) sebelum memulakan penggambaran.

Menurut Presiden Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia, Dr Mahadi J Murat, ini kerana tujuan permohonan SPP adalah tertakluk bagi syarikat dan produksi yang memegang lesen pengeluaran Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dimana hasil karyanya hanya ditayangkan di televisyen mahupun pawagam.

Jelas beliau, bagi syarikat dan produksi yang tidak memiliki lesen pengeluaran FINAS ini, badan berkenaan tidak mempunyai kuasa untuk menentukan syarat dan peraturan yang harus diikuti.

"Jika individu/syarikat/produksi yang ingin menayangkan filem melalui media sosial seperti Instagram, YouTube dan Facebook, ia terserah kepada penyedia platfrom untuk menentukan syarat-syaratnya dan FINAS tidak langsung mempunyai kuasa mencampuri urusan itu.

"Bagi penggambaran rancangan untuk televisyen mereka pula tertakluk dengan peraturan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)," kata beliau ketika dihubungi Astro Awani, di sini, pada Khamis.

Susulan itu memperluaskan pelaksanaan SPP kepada media sosial hanya akan beri impak negatif kepada industri digital tanah air.

Jelas beliau, kepentingan memohon lesen SPP ini adalah bertujuan untuk memastikan syarikat produksi ini menggunakan tenaga kerja anak tempatan, dengan melalui beberapa organisasi yang ditetapkan iaitu Persatuan Sutradara Malaysia, Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN).

Dalam pada itu, bagi pengarah filem, Erma Fatima, idea perluasan SPP ke media sosial perlu dikaji semula.

"Melalui SPP, ia memudahkan FINAS untuk memastikan pekerja, pelakon, pengarah dan mereka yang dibelakang tabir terdiri daripada ahli persatuan dan memudahkan badan itu untuk memantau pengkalan data sesebuah produksi penerbitan itu."

"Idea untuk memperluaskan permohonan SPP kepada platform media sosial harus dilihat semula melihat kepada kapasiti dan kemampuan badan itu untuk mengawal selia segala permohonan berkenaan."



Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan, semua penerbit filem termasuk agensi media arus perdana dan media persendirian diwajibkan memohon Lesen Pengeluaran Filem serta Surat Perakuan Penggambaran (SPP) sebelum menerbitkan filem mereka di platform media sosial ataupun saluran tradisi.

Katanya, pemegang lesen perlu memaklumkan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum penggambaran sesuatu filem dimulakan.