PELAKON Khir Rahman memohon orang ramai supaya dapat mendoakan kesihatan ayahnya,
Datuk A. Rahman Hassan yang pitam semalam.

Menerusi entri di Instagram (IG), Khir menjelaskan ayahnya kini sedang mendapatkan rawatan dalam unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Ampang selepas mengalami komplikasi pada paru-paru dan degupan jantung rendah.

"Assalamulaikum, saya Khir Rahman, ingin memohon jasa baik tuan-tuan dan puan-puan untuk memanjatkan doa buat ayahanda saya Datuk A. Rahman Hassan, yang kini berada di ICU, Hospital Ampang.

"Semalam, 10 Jun, sekitar jam 10 malam, beliau telah pitam di stesen minyak Petron Ampang sebelum diselamatkan oleh pihak ambulance.

"Beliau kini direhatkan (sedation) untuk rawatan dan pantauan lanjut pihak hospital.

"Buat masa ni pihak keluarga dimaklumkan bahawa ada komplikasi dengan paru-paru (berair) dan degupan jantung yang tidak konsisten (lemah).

"Mohon yang terbaik buat Abah. Dipermudahkan segala urusan dan ikhtiar buat Abah jua. Aminn. Terima kasih," tulisnya.

Menerusi ruangan komen, rata-rata mendoakan agar kesihatan A. Rahman Hassan kembali pulih selepas mendapatkan rawatan.

Terdahulu, penyanyi itu telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama lima hari bermula 1 Jun lalu selepas berdepan sesak nafas kronik disebabkan masalah jantung.

Namun, hajat A. Rahman Hassan untuk pulang berhari raya di kampungnya dipenuhi keluarga selepas dibenarkan keluar wad sehari sebelum 1 Syawal.