Tutup

Polis Evo kutip lebih RM2.5 juta dalam 4 hari, lakar standard baharu filem Malaysia

Polis Evo kutip lebih RM2.5 juta dalam 4 hari, lakar standard baharu filem Malaysia
Gandingan Shaheizy dan Zizan dilihat sebagai pilihan tepat kerana kedua-dua pelakon ini saling mengimbangi antara satu sama lain.
KUALA LUMPUR: Dalam keadaan industri perfileman tempatan yang tidak menentu ketika ini, semestinya menjadi cabaran kepada pihak penerbit untuk menghasilkan sebuah filem yang berkualiti dan memenuhi citarasa penonton filem di Malaysia.

Namun sambutan terhadap filem Polis Evo yang di luar jangkaan sejak ia ditayangkan pada 17 September lalu sama sekali mengubah persepsi penonton, sekali gus mengembalikan keyakinan mereka terhadap mutu filem tempatan.
Adunan penceritaan dan aspek teknikal dalam pembikinan filem ini sudah tentu menjadi rencah utama dalam menghasilkan sebuah filem yang berkualiti serta menaikkan taraf perbikinan filem di Malaysia.

Filem Polis Evo juga dikatakan menjadi satu benchmark baharu untuk filem tempatan.
Menurut Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, pihaknya melihat sokongan yang diberikan oleh para penonton terhadap filem ini berharap menjadi perubahan dalam arus perfileman negara bagi memenuhi selera penonton generasi baharu.

“Sesuatu yang agak istimewa tentang Polis Evo, apabila cerita asal filem ini sebenarnya adalah idea asal oleh tiga anak muda yang mendapat biasiswa daripada Astro iaitu Joel Soh, Kyle Goonting dan Anwari Ashraf.

"Pastinya pembabitan anak muda seperti mereka ini memberi nafas baru serta menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk terbabit dalam bidang perfileman,” kata Najwa.

Dalam pada itu, Najwa berkata dalam tempoh empat hari tayangan, kutipan filem aksi Polis Evo telah berjaya mencatat kutipan lebih RM2.5 juta daripada 98 buah pawagam seluruh Malaysia serta Brunei.

Gandingan dua pelakon utama Shaheizy Sam dan Zizan Razak dilihat sebagai satu pilihan yang tepat. Ini kerana kedua-dua pelakon ini saling menyokong dan mengimbangi watak antara satu sama lain membuatkan penonton tidak bosan dengan karakter yang sama atau persamaan dengan karakter yang sebelumnya.

Shaheizy Sam yang memegang watak sebagai Inspektor Khai berkata, “Kami sebagai satu pasukan telah berusaha memberikan yang terbaik untuk filem ini.

"Apabila filem ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton, ini telah membuktikan bahawa peminat masih lagi mempercayai karya tempatan," kata Shaheizy.

Dalam pada itu, jumlah tontonan trailer rasmi filem Polis Evo di Youtube ketika ini telah mencapai hampir 1 juta tontonan dan dijangka meningkat hari demi hari.

Lagu tema Polis Evo berjudul ‘Evo’ juga mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik tanah air apabila hampir 700,000 pelayar mendengar lagu berentak up beat ini dalam tempoh kurang satu bulan selepas muzik video ini dimuat naik di laman Youtube.

Filem ini ternyata memberikan impak besar di laman-laman sosial apabila sekurang-kurangnya 10,000 pengguna memperkatakan mengenainya sebelum filem ini ditayangkan.

Secara keseluruhan, Polis Evo mendapat lebih 34 juta pendedahan di media sosial; malah filem ini telah menjadi trending di laman Twitter.

Filem bergenre aksi ini memaparkan kisah dua anggota polis, Khai (Shaheizy Sam) dan Sani (Zizan Razak) yang mempunyai personaliti yang sangat berbeza namun harus bekerjasama untuk menjatuhkan sebuah operasi pengedaran dadah.

Berjayakah Sani dan Khai menyelesaikan misi mereka bersama?

Saksikan Polis Evo di pawagam berhampiran.