PENYANYI kelahiran program realiti Ceria Pop Star, Putri, menepis dakwaan sesetengah pihak yang menyamakan dirinya seperti penyanyi Shila Amzah.

Putri atau nama sebenarnya Putri Ain Natashha Abdul Malek, 16, berkata, sejak mencipta nama dalam industri tahan air sejak tahun 2014, dia sering dikaitkan dengan penyanyi itu.

"Sebenarnya saya kini masih mencari identiti sendiri yang bersesuaian dengan umur kerana sejak dahulu lagi orang ramai sering kaitkan saya dengan penyanyi Shila Amzah.

"Sebolehnya saya tidak mahu diri ini dibayangi oleh penyanyi itu kerana sebagai seorang penyanyi saya harus mempunyai identiti tersendiri,” katanya kepada Astro Gempak.

Putri berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran single dan muzik video terbarunya di pejabat urusan Warner Music Malaysia, pada Selasa.

Panas Hujan merupakan single kedua penyanyi ini ciptaan sepenuhnya Haikal Zarrini dibawah label Hazac Records.

Dalam pada itu, Puteri juga turut dilantik sebagai duta D'Pilin Boutique pada majlis berkenaan.

Bercerita mengenai dirinya yang kini masih di tingkatan empat, Sekolah Menengah Kebangsaan Pedas, Rembau, Negeri Sembilan, Puteri berkata, kerjaya seninya tidak akan terjejas meskipun terpaksa membahagikan masa untuk pelajaran.

"Ini merupakan satu pengorbanan yang harus dilakukan oleh saya untuk bergelar seorang penyanyi dan dalam masa sama saya harus membahagikan masa untuk pelajaran.

"Mungkin saya akan memperlahankan kerjaya seni pada tahun hadapan memandangkan pada tahun depan saya perlu fokus untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” jelasnya.