Ketika ramai penonton terhibur dengan telefilem Pok Ya Cong Codei yang ditayangkan menerusi saluran Astro Citra Exclusive dan Mustika HD, tanpa disedari terdapat pelbagai mesej diketengahkan membabitkan isu masyarakat masa kini.

Pengarah dan watak utamanya, Sabri Yunus mengakui unsur komedi di dalam telefilem tersebut menerusi watak-watak yang diketengahkan, bukan sahaja berjaya menarik minat penonton malah secara tidak langsung menerap nilai-nilai tempatan serta teladan kepada masyarakat.

“Setiap cerita harus ada nilai teladan namun menerusi telefilem ini saya sulamkan dalam bentuk yang lebih santai agar mudah diterima penonton,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Telefilem yang turut mengetengahkan dialek Kelantan ini tular di media sosial terutama membabitkan Watak Pok Ya yang digambarkan sebagai seorang samseng.

BACA: Memang lawak sampai ada orang rap!

Jelas Sabri Yunus lagi, watak Pok Ya bukan sekadar ciptaan semata-mata namun sememangnya wujud dalam senario kehidupan masyarakat masa kini.

“Bukanlah saya mereka-reka tetapi sebenarnya ada ramai orang macam Pok Ya dalam masyarakat kita.

"Pok Ya ini memang nampak samsengnya namun sebenarnya dia ada sisi lucu lain yang ramai tak tahu jika tidak betul-betul mengenalinya,” katanya lagi.

Sementara itu, Sabri Yunus menjelaskan akan terus berkarya dengan membawa mesej membabitkan budaya, nilai tempatan dan kesenian namun pada masa sama diselitkan unsur-unsur komedi agar lebih mudah diterima serta difahami masyarakat.