'Randai', tarian gelombang tradisional masyarakat Minangkabau dari Pagaruyung, Sumatera Barat, mungkin merupakan sesuatu yang asing bagi masyarakat kita di negara ini.

Namun, orang ramai kini berpeluang untuk mengenali keunikan Randai melalui teater muzikal Randai 'Cindua Mato' yang diadakan buat julung kalinya di pentas Istana Budaya selama tiga hari bermula Jumaat.

Teater dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu mempertaruhkan barisan pelakon popular termasuk Remy Ishak yang akan memegang watak utamanya iaitu 'Cindua Mato', Datuk Jalaluddin Hassan (Rajo Tiang Bungkuk), Datuk Ahmad Tarmimi Siregar (Datuk Bandaro) dan Vanidah Imran (Bundo Kanduang), untuk menarik peminat ke panggung Istana Budaya.

Menjelas lanjut mengenai teater berkenaan, pengarahnya Lokman Ghani berkata Randai berasal dari perkataan 'merandai' yang bermaksud mengarang atau melingkar kawasan lapang dalam bentuk bulatan dan biasanya dipersembahkan dalam loghat Minang di Negeri Sembilan.

Istilah kiasan

"Randai juga membawa maksud bertutur dengan menggunakan istilah-istilah kiasan yang samar tetapi mempunyai maksud tersirat yang dalam dan jelas.

"Ramai sebenarnya tidak tahu akan keunikan Randai ini termasuk masyarakat Minangkabau sendiri di Negeri Sembilan, oleh itu budaya yang hampir dilupai dan mungkin tidak diketahui umum itu perlu kami memperkenalkannya kepada semua," katanya kepada pemberita selepas pratonton teater muzikal Randai 'Cindua Mato', di sini, Khamis malam.

Bagi Lokman, pembikinan pementasan teater berunsurkan Randai yang menggambarkan sejarah masyarakat Minangkabau merupakan satu cabaran besar buat dirinya serta barisan produksi memandangkan 90 peratus daripada pelakon bukan berasal dari etnik Minangkabau.

"Dalam teater ini, kami menterjemahkan karya asal 'Kaba Cindua Mato' dari bahasa Indonesia sepenuhnya kepada bahasa Melayu baku bagi memudahkan pemahaman penonton.

"Selain penterjemahan naskah kepada skrip dari bahasa Minangkabau Indonesia kepada bahasa baku, untuk menghayati watak-watak dan jalan ceritanya bukan mudah kerana kami perlu menyesuaikan cerita rakyat Minangkabau ke dalam Randai melalui gabungan tarian, nyanyian, lakonan dan seni silat," katanya.

Lokman berkata pementasan teater itu mengambil masa sebulan untuk latihan dan tiga bulan untuk membuat kajian menyeluruh tentang sejarah Randai dan masyarakat Minangkabau.

"Persiapan dari segi penggunaan instrumen, props, alat muzik dan sebagainya menggunakan masa hampir tiga bulan iaitu sejak Januari lagi," katanya.

Katanya, sebanyak 40 artis budaya dan pemuzik terlibat dalam pementasan itu yang melibatkan gabungan Kumpulan Kesenian JKKN Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur, pemuzik tradisional dari Istana Budaya dan Kumpulan Kesenian JKKN.

"15 orang pesilat dari Persekutuan Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi dan Kumpulan Kebudayaan dan Kesenian Kampung Gagu, Jelebu, Negeri Sembilan turut menyertai pementasan teater ini," katanya.

Pahlawan sakti

Teater Muzikal Randai 'Cindua Mato' mengisahkan seorang pahlawan, 'Cindua Mato' yang sakti dan gagah berani memperjuangkan cinta, maruah serta kedaulatan kerajaan Pagaruyung pada waktu itu.

Bagi pelakon utamanya Remy Ishak, watak 'Cindua Mato' memerlukannya menggabungkan kemahiran dari segi lakonan, seni silat dan nyanyian di atas pentas.

"Walaupun saya sangat teruja membawakan watak Cindua Mato iaitu nama seorang figura yang menjadi kebanggaan masyarakat Minangkabau dalam teater ini, tetapi saya agak gementar untuk menyanyi secara langsung di pentas.

"Namun, saya berharap agar pementasan tradisional Minangkabau yang kami bawakan ini dapat memikat hati penonton untuk lebih mengenali sejarah masyarakat Minangkabau," katanya.

Pementasan Randai ini merupakan kesinambungan kepada usaha JKKN memartabatkan teater tradisional negara selepas mementaskan teater Mek Mulung di pentas sama, mendapat sambutan hangat tahun lepas.

Tiket bagi menyaksikan persembahan Randai tersebut berharga RM25, RM55 dan RM85 dan boleh didapati dengan melayari www.airasiaredtix.com atau dengan membelinya di kaunter tiket box-office Istana Budaya.

Tiket juga boleh diperoleh di outlet Rock Corner di The Gardens, Mid Valley, KLCC, Subang Parade dan The Curve serta di Victoria Music di Sungei Wang, Amcorp Mall dan Tropicana.