Filem 'Rise: Ini Kalilah' dilihat sebagai usaha menghargai keberanian rakyat Malaysia secara keseluruhannya melakukan perubahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas, untuk masa depan negara.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata rakyat Malaysia merupakan hero luar biasa melalui tindakan berani mereka pada PRU14 itu yang penuh iltizam serta bersemangat kental bagi memastikan keadaan negara ini bertambah baik.

"...tetapi yang ini (filem 'Rise: Ini Kalilah') berdasarkan kejadian berlaku di negara kita... saya kira (pihak) penerbitan filem ini bertujuan untuk menghargai keberanian rakyat Malaysia...filem ini amat penting bagi merakamkan keberanian dan tindakan diambil itu," katanya ketika berucap sempena tayangan perdana filem itu di sini malam tadi.

Turut hadir isteri Menteri Besar, Tok Puan Norzieta Zakaria. Pelakon filem itu Remy Ishak dan Mira Filzah juga hadir untuk tayangan perdana itu.

Mukhriz turut merakamkan ucapan tahniah kepada pihak penerbitan dan produksi serta pelakon filem berkenaan.

Filem itu berkisah tentang rakyat Malaysia bergabung tenaga dalam mencapai matlamat bagi melahirkan rasa kasih kepada negara dengan mamaparkan kisah enam individu berlainan plot cerita yang berkait dengan tarikh keramat 9 Mei lepas kemuncak PRU14 lalu.

-- BERNAMA