BEBERAPA hari lalu pelakon Rita Rudaini meluahkan kekesalan terhadap sahabat baiknya, Izreen Azminda yang dikatakan lari daripada masalah apabila menutup ruangan komen dan seterusnya akaun Instagram sehingga menyebabkan netizen menyerangnya bagi pihak Izreen.

Terbaharu, Rita mencuri perhatian ramai apabila telah memuat naik sekeping gambar yang menunjukkan dia bersama-sama madu Izreen iaitu Intan Liyana, selain pelakon Nazia Mustapha dan seorang lagi rakan mereka.

Pada gambar tersebut, Rita menulis kapsyen berbunyi; “ Saya pernah jadi isteri seperti dia…”

Gambar yang dimuat naik pada hari Rabu itu telah mendapat pelbagai reaksi daripada pengikut Rita di Instagram. Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang mengecam Rita dan mengaitkannya dengan kisah rumah tangganya sebelum ini.

Ada di antara komen-komen negatif tersebut mendapat perhatian dan dijawab oleh Rita termasuklah kecaman yang mengatakan dia pernah ‘menjaja’ aib cerita bekas suami.