PELAKON Rozita Che Wan menafikan mempergunakan anak perempuannya, Aaisyah Dhia Rania, 3, untuk mengaut keuntungan.

Dakwaan tersebut timbul apabila Rozita atau lebih mesra disapa sebagai Che Ta menjadikan Aaisyah sebagai duta produk makanan tambahan untuk kanak-kanak.

Tindakan itu disifatkan netizen sebagai strategi untuk melariskan jualan produk berkenaan.

Menurut Che Ta, dia tidak pernah memanipulasikan anak sendiri demi mengaut keuntungan, sebaliknya hanya berkongsi produk yang diambil Aaisyah kepada masyarakat di luar sana.
“Tiada langsung niat saya untuk memanipulasi anak sendiri. Berikutan ramai yang bertanya, apa yang Aaisyah makan sewaktu proses tumbesarannya, jadi saya kongsikan ia sebagai produk makanan tambahan yang terbaik,” katanya kepada sebuah portal hiburan.

Tambahnya lagi, apa yang dilakukan itu hanya untuk membantu golongan ibu bapa untuk mencuba produk berkenaan yang disifatkan dapat mengurangkan masalah kesihatan kepada kanak-kanak kerana ia merupakan produk yang berasaskan sunnah dan sesuai untuk kanak-kanak.

Berkongsi pengalamannya sendiri, kata Che Ta, dia bersyukur kerana anak bongsunya itu jarang berdepan masalah kesihatan sepanjang membesar.

Hubungan baik antara Che Ta dan pengilang makanan tambahan yang dikenali sebagai 'Champ, Champ, Champ! Aaisyah itu akhirnya membuka ruang untuk mereka menjalinkan kerjasama, sekali gus membantu kanak-kanak lain di luar sana.