Saat isteri bersalin sangat peribadi, tak wajar dipertontonkan - Faizal Ismail

Saat isteri bersalin sangat peribadi, tak wajar dipertontonkan - Faizal Ismail
Faizal Ismail menegur secara berhemah tindakan usahawan kosmetik terkemuka yang memuat naik video isterinya sedang dalam proses bersalin.
PENYAMPAI radio popular, Faizal Ismail menegur secara berhemah tindakan usahawan kosmetik terkemuka yang memuat naik video isterinya sedang dalam proses bersalin.

Kata Faizal, detik itu sangat peribadi dan sepatutnya seorang suami perlu menenteramkan isterinya ataupun berdoa.

"Maaf, saya tak sokong upload video saat-saat isteri nak bersalin walau dalam apa keadaan sekali pun.

"Ia adalah saat yang sangat peribadi apatah lagi si isteri tengah bersabung nyawa.
"Lebih baik berdoa dan baca apa yang patut. Ia bukan untuk tontonan umum," luah Faizal menerusi akaun Instagramnya hari ini.

Malah kata Faizal, seseorang individu tidak semestinya melihat video sedemikian untuk menghormati wanita mahu pun seorang ibu.

"Alasan untuk beri pengajaran kepada yang lain adalah sekadar nak halalkan perbuatan.

"Ramai yang tak tengok video pun masih menghormati ibu dan isteri," ujarnya.

Faizal yang sudah lima kali menemani dan menyaksikan sendiri isterinya bersalin bagaimanapun berharap pihak tertentu yang lebih arif melontarkan pendapat berhubung perkara tersebut.

"Harap tiada lagi yang buat. Mungkin perlu pandangan daripada pakar agama dalam hal ini," tambah Faizal.
 

Terdahulu, usahawan kosmetik tersebut telah memuat naik sepotong video yang memaparkan saat getir isterinya sedang bersalin di akaun Instagram peribadinya.

Alasannya, untuk memberikan pengajaran tentang pengorbanan seorang ibu melahirkan zuriat.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @faizalfbi76