PENYANYI dan pelakon yang popular menerusi filem A Star Is Born, Lady Gaga sah putus tunang dengan agen pencari bakat, Christian Carino.

Perkara itu disahkan oleh pengurus penyanyi lagu Bad Romance itu kepada portal hiburan, E! Online.

Sebelum ini, khabar angin perpisahan mereka bertiup kencang selepas Carino tidak hadir bersama Gaga pada majlis Anugerah Grammy, baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, pada malam anugerah itu juga, Gaga dikhabarkan tidak memakai cincin pertunangan mereka.

Pasangan ini telah mengikat tali pertunangan pada November 2017.

Gaga juga pernah bertunang bersama Taylor Kinney sebelum mereka berpisah pada Julai 2016.

Gaga akan kembali ke karpet merah pada Isnin ini (25 Feb) untuk Anugerah Akademi, di mana beliau telah dicalonkan dalam kategori Lagu Asal Terbaik dan Pelakon Terbaik dalam filem A Star Is Born.