PELAWAK dan penyampai radio, Shuib Sepahtu mengakui tidak menyediakan sebarang hadiah untuk isterinya, penyanyi Siti Sarah sempena sambutan ulang tahun Sarah yang ke-33.

"Sejujurnya, saya tidak menyediakan apa-apa hadiah istimewa bersempena dengan sambutan ulang tahun kelahiran Sarah pada tahun ini. Saya merupakan individu yang tidak menunggu sambutan hari istimewa untuk memberi hadiah.

"Jika hati saya terdetik untuk memberi hadiah, saya akan terus merancang perkara itu dan memberikannya kepada Sarah sebagai kejutan. Untuk tahun ini, cukuplah saya hadiahkan kepadanya kasih sayang yang tidak berbelah bahagi," seloroh Shuib.

Sebelum ini, Shuib pernah menghadiahkan sebuah kondominium kepada Sarah sempena kelahiran anak ketiga mereka, Ariq Matin pada penghujung tahun 2015.

Shuib juga pernah menghadiahkan majlis persandingan beserta cincin berlian kepada isterinya ketika sambutan ulang tahun perkahwinan mereka yang keenam.

Shuib bersama kelab peminat Sarah, Hearty Sarah membuat kejutan kepada penyanyi itu bersempena sambutan hari lahir Sarah yang ke-33 pada 15 September ini.

"Alhamdulillah, saya rasa sangat terharu dengan sambutan ini. Saya bersyukur kerana mempunyai peminat yang tidak jemu menyokong kerjaya seni saya sepanjang penglibatan dalam dunia nyanyian.

"Secara jujur, saya sendiri rasakan umur saya tidak berganjak semenjak berusia 26 tahun. Masa pantas berlalu dan saya bakal menyambut hari lahir yang ke-33.

"Usia bukan penghalang untuk saya merealisasikan impian dan berusaha dengan lebih keras untuk menggembirakan peminat dan mencapai kejayaan bidang yang saya cintai," kata Sarah.

Dalam perkembangan terbaru, filem lakonan Shuib, Abang Long Fadil 2 sedang hangat ditayangkan di pawagam. Shuib juga terlibat dengan program Super Spontan Superstar 2017 yang bersiaran secara langsung di Dewan Percubaan UPM, Serdang, bermula 8 September 2017, setiap Jumaat, jam 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Astro Warna HD (saluran 124).

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @sitisarahraissuddin

Ini adalah diantara wajah kesayangan sarah .. jutaan terima kasih sarah ucapkan kepada semua yg terlibat dalam acara kejutann birthday sarah walaupun belom masuk hari,