Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Sasha-Sirhan tenang hadapi ancaman COVID-19 di Dubai

Sasha-Sirhan tenang hadapi ancaman COVID-19 di Dubai
Sasha dan Sirhan mengabadikan kenangan di padang pasir al-Qudra, Dubai sewaktu menjalani penggambaran di perkampungan Badwi al-Marmoom, awal Februari lalu. - Astro AWANI/Hamzah Hamid
SEJAK berumahtangga pada Januari lalu, Sasha Saidin, sememangnya sudah membayangkan untuk menempuh suatu episod kembara baharu dalam hidupnya.

Meskipun perlu meninggalkan Malaysia dan menetap di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) di samping suami, selebriti yang sentiasa dikenang sebagai anggota kumpulan Elite itu mengakui peralihan hidup itu suatu yang gembira dijalaninya tanpa perlu beralah pada hal-hal rumit.
“Kerana sejak dari dulu, kami tidak mahu hubungan jarak jauh. Kalau sudah berkahwin, seharusnya di mana pun kami berada, kami perlu bersama,” ujarnya.

Sasha saat ditemu bual di bawah khemah sebuah perkampungan suku Badwi al-Marmoom di padang pasir al-Qudra, usai menjalani penggambaran program Romantika Raya terbitan Astro, awal Februari lalu.
Saat ditemui, Sasha memberitahu, dia dan suaminya, Sirhan Wahab, perlu terlebih dahulu menguruskan hal visa dan beberapa kertas kerja lain.

Ia proses biasa untuk disiapkan, lebih-lebih lagi Sirhan sudah terlebih dahulu mengenali hal birokrasi sejak dia mula menjalankan bisnes usahasama dalam bidang penyumberan luar di tanah Arab itu.

Keputusan berkahwin dan seterusnya berhijrah ke bumi asing sedikit sebanyak membuatkan ada dalam kalangan peminat dan juga rakan artis yang beranggapan bahawa Sasha sudah 'cuci tangan' dengan aktiviti seninya.

Sasha dan Sirhan sewaktu menjalani penggambaran program Romantika Raya terbitan Astro.

“Saya tidaklah meninggalkan dunia seni tanah air 100 peratus. Contohnya kami masih membuat penggambaran untuk produksi Astro ini, dan akan datang, memang ada beberapa pihak yang menyatakan hasrat untuk buat modelling shoot.

“Sama ada mereka (tenaga produksi) datang ke sini atau bertemu di negara-negara yang terdekat dengan UAE... kerana UAE ini terletak di tengah-tengah, hendak ke Eropah dekat, ke Asia pun dekat,” kongsinya yang masih menerima pelawaan untuk menjayakan projek travelog, fesyen mahupun drama.

Namun untuk bersetuju pada tawaran seumpamanya, menurut wanita yang membesar di Kuala Lumpur itu, dia perlu memikirkan sesuatu terlebih dahulu, sesuai dengan statusnya kini.

“Walau apa pun, keutamaan saya adalah untuk berada di samping suami. Apa-apa projek yang hendak diambil akan saya bincang dulu dengan suami dan lihat sama ada ia sesuai untuk kami. Mulai hari ini, segala keputusan bukan milik saya seorang,” jelasnya.

Bagi Sirhan pula, walaupun tidak menghalang peluang dan perkembangan bakat isterinya, berpandangan bahawa perjalanan mereka baru saja bermula.

“Buat masa sekarang, saya fikir lebih bagus jika Sasha ada di rumah terlebih dahulu, memandangkan kami baru saja berkahwin dan baru nak mengenali antara satu sama lain. Kemudian perlu diuruskan juga tentang anak kami.

“Selepas sudah tengok semua keadaan itu (berjalan lancar), mungkin saya akan izinkan memandangkan itu (dunia seni) adalah periuk nasi Sasha,” kata Sirhan memahami.

Mereka berdua mengakui, jika Sasha diminta pulang ke Malaysia semata-mata untuk menjalani projek penggambaran singkat, itu agak mustahil dari segi logistik.

“Pernah juga ada tawaran yang saya terpaksa tolak. Bagi saya, itu adalah pengorbanan, dan ia pengorbanan yang terbaik buat diri saya,” ujar Sasha, yang teguh pada pendiriannya untuk meletakkan keluarga dalam fokusnya.

Foto: Instagram @sashasaidin

Jalani ibadah umrah dalam keresahan ancaman COVID-19

Ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik pada 11 Mac lalu, Sasha dan Sirhan baru saja berselang minggu selesai menunaikan ibadah umrah.

Sewaktu tempoh itu, kekecohan dan kebimbangan tentang ancaman virus korona berkenaan lebih dirasai di negara-negara sebelah Timur, manakala di Wuhan, China, yang menjadi titik punca penularan itu, rakyatnya sedang bergelut dengan masa.

“Sebenarnya sebelum kami berangkat, kami sudahpun siap membeli penutup hidung dan mulut di Dubai. Kami awalnya tidak pasti sama ada akan menggunakannya sewaktu menjalankan ibadah umrah,” cerita Sasha menerusi pesanan audio ke Astro AWANI.

Imbasnya, agak sukar untuk melakukan penjarakan sosial sewaktu di Tanah Suci, khususnya semasa bersesak melakukan tawaf. Malah apabila dia dan suami mula memakai topeng muka itu, ada jemaah lain yang ‘pelik’ melihat mereka.

“Selang dua minggu setelah kami kembali di Dubai, kami dapat tahu tentang penutupan Masjidilharam dan kemudian Madinah, selain (ada arahan) menghentikan kemasukan jemaah untuk ibadah umrah. Ketika itu kami rasa ‘wow ini serius!’, namun kami rasa bersyukur kerana sempat melunaskan ibadah kami,” kata Sasha.

Di Dubai pula katanya, yang terkenal sebagai kota yang padat dan sibuk dengan akiviti pelancongan dan membeli-belah, sudah sibuk dengan langkah-langkah pemerintah untuk bertindak terhadap kemungkinan buruk penularan.

“Saringan kesihatan terhadap orang yang masuk ke Dubai kemudian diperketat, dan akhirnya pihak berkuasa membuat keputusan untuk menutup operasi lapangan terbang... hinggalah sekarang ini,” katanya yang menambah, suaminya sudah lebih awal mengambil keputusan untuk bekerja dari rumah.

Bermula dengan perintah kawalan pergerakan, Dubai kemudiannya menguatkuasakan perintah berkurung sepenuhnya apabila keadaan semakin genting. Begitupun, pada penilaian Sasha dan Sirhan, rakyat Dubai amat mematuhi peraturan yang dijalankan pihak berkuasa.

Rakyat Dubai patuh pada perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan pemerintah. - Reuters

Kagum langkah proaktif Dubai

“Perkara pertama yang mereka lakukan pada 8 Mac lalu adalah menutup sesi persekolahan, kemudian seminggu kemudian, menerusi arahan Sheikh Mohammed (Pemerintah Dubai), kami disaran bekerja dari rumah.

"Setelah itu pada 17 Mac, semua sektor runcit diarahkan memendekkan tempoh operasi iaitu dari 10 pagi hingga 8 malam.

“Pada 22 Mac, pembelajaran secara maya dimulakan, seterusnya kaedah yang sama dilakukan bagi mesyuarat Kabinet kerajaan. Seterusnya pada 25 Mac, semua pasar basah, pusat komersial termasuk gedung beli-belah ditutup, kecuali farmasi dan kedai keperluan penting,” jelas Sirhan terperinci.

Selain berkongsi cerita tentang ketegasan arahan pemakaian penutup mulut dan hidung sewaktu di luar rumah, Sirhan turut menghargai kelancaran pelaksanaan kempen bantuan kepada golongan memerlukan, kerja-kerja nyahkuman atau sanitasi umum, dan juga ujian pengesanan besar-besaran oleh kerajaan.

Sejak itu, pasangan berkenaan patuh ‘duduk di rumah’, yang menurut Sasha, ia suatu pengalaman ‘interesting’.

“Apa yang saya kagumi di sini adalah betapa cepatnya sebuah aplikasi dibangunkan, iaitu ketua keluarga yang perlu keluar untuk membeli barang keperluan perlu memohon permit secara dalam talian.

"Itu sangat cool,” kongsi Sasha yang memuji keberkesanan penguatkuasaan dan juga tindakan barisan petugas hadapan di Dubai dalam menangani situasi.

“Setakat ini kami tidak mengeluh. Saya cuma ingin katakan kami bersyukur kami di sini dalam keadaan sihat dan selamat,” tambahnya, yang sabar menanti kesempatan untuk bertemu keluarga di Malaysia apabila tiba waktunya nanti.

* Jangan lupa menonton program khas 'Romantika Raya Sasha & Sirhan' pada Khamis, 28 Mei 2020, jam 12 tengah hari di saluran Astro Ria.