ANTARA cinta, kerjaya dan populariti... mana satu pilihan anda?

Persoalan itu menjadi premis utama telemovie terbaharu "Saya Jual Ye Bang!"

Menurut Ketua Saluran Astro First Eksklusif dan Astro Best, Sharmin Parameswaran, beliau sangat teruja untuk bekerjasama dengan Infinitus dalam menghasilkan telefilem ini.

“Kami berasakan filem-filem televisyen yang bergenre komedi ini bersifat santai, namun pada masa sama memiliki pengisian padat dan menyeluruh, sering mendapat tempat di hati penonton, terutamanya dalam kalangan seisi keluarga,” katanya selepas pra tonton telefilem itu.

Filem arahan Kabir Bhatia ini menampilkan Zizan Razak dan Uqasha Senrose selaku teraju utama.

Zizan dan Uqasha bergandingan bersama untuk tele filem Saya Jual Ye Bang!
Sementara itu, Uqasha yang memegang watak Rose memuji filem bergenre komedi romantik ini yang menurutnya banyak menyajikan nilai murni yang sesuai diaplikasi dalam kalangan masyarakat.

“Filem yang hampir satu jam lebih ini ada banyak nilai-nilai murni, antaranya ialah kasih sayang seorang suami, sifat nak berjaya.

"Seperti mana yang kita tahu, manusia memang selalu leka dan lalai, jadi jika mereka menonton mungkin mereka boleh sedar sebab banyak nilai baik yang kita satukan dalam satu filem komedi romantik ini, dan ia juga merupakan satu filem yang patut ditonton seisi keluarga,” katanya.

Selain Zizan dan Uqasha, "Saya Jual Ye Bang!" turut dibintangi Nadiyah Sahab, Datuk AC Mizal, Idris Khan, Vicha dan penyampai radio Era, Ray.

Datuk Aznil Haji Nawawi dan juga pengacara Go Shop, Raianna Rahman tampil membuat kemunculan istimewa.

Telefilem "Saya Jual Ye Bang!" akan mula menemui penonton mulai 14 Mac di saluran 480, Astro First Eksklusif.