SIAPA sangka pada usia 51 tahun, penyanyi popular Ireland, Sinead O'Connor mendapat hidayah untuk masuk Islam dan memilih nama yang cukup indah sebagai Shuhada.

Berita mengenai penghijrahan penyanyi yang terkenal dengan lagu 'Nothing Compares 2U' itu menjadi bualan hangat media dan netizen di media sosial sejak kebelakangan ini.

Dia yang anggun berhijab menggumumkan masuk Islam menerusi akaun Twitternya, @MagdaDavitt77 pada 20 Oktober lalu.

"Saya bangga menjadi Muslim. Ini adalah kesimpulan semula jadi pada perjalanan mana-mana penganut teologi (ilmu bukan ketuhanan)," katanya.

BACA: Sinead O'Connor peluk Islam, umum nama baharu
Menariknya, sehari selepas pengumuman tersebut dia memuat naik satu video yang menunjukkan dia cuba melaungkan azan meskipun mengakui salah pada sebutan.

Biarpun ada pelbagai komen dilontarkan netizen padanya tapi ramai yang memberikan kata-kata semangat padanya termasuk individu bukan Islam yang menghormatinya sambil berharap kepercayaan terhadap Islam membawa keamanan dan kebahagiaan pada selebriti itu.
Begitu juga, dalam satu video berasingan, Shuhada berlatih menyebut perkataan dalam Islam dengan betul seperti alhamdulillah ketika bertemu dengan Ketua Imam Pusat Islamik Ireland, Sheikh Dr Umar Al-Qadri.

Shuhada memberitahu pada khalayak mengenai rakannya, Elaine yang memberikan tudung pertama buatnya untuk dipakai dan dia memuat naik gambarnya kelihatan anggun dengan berhijab.

"Saya perempuan tua yang hodoh tapi saya sangat, sangat, sangat gembira sebagai wanita tua yang hodoh," katanya.
Shuhada berkongsi dengan netizen mengenai satu laman sesawang iaitu New Muslims yang memberikan banyak panduan berkaitan Islam.

Malah, dia memuat naik foto yang memaparkan Surah Al-Baqarah sebagai renungan bersama kepada semua yang mengikuti di Twitternya.

"Terima kasih pada semua Muslim yang bersikap baik mengalukan penghijrahan saya ini. Anda sukar bayangkan betapa besar kebaikan anda memberi makna pada saya," katanya.

Bagi peminat, populariti lagu 'Nothing Compares 2U' memang cukup membuai perasaan. Video lagu tersebut yang pernah dimuat naik di YouTube menerusi akaun officialsinead ditonton 99 juta kali.
Teks oleh: Elrafaei Sapi/Foto: Twitter @MagdaDavitt77