PENYANYI Syafiq Farhain akui terkejut apabila diberitahu bapanya, Saleem sudah pun dibenarkan keluar hospital empat hari lalu.

Syafiq berkata melihat dari perkembangan kesihatan bapanya sebelum itu masih berada di dalam keadaan lemah justeru musykil bagaimana sudah dibenarkan pulang.

“Saya sempat menziarahi bapa dua kali ketika dia berada di Hospital Kajang kerana ketika itu saya sibuk dengan program Big Stage dan hanya ada masa yang terhad.

“Selepas dipindahkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) saya berkesempatan juga menziarahinya dan keadaanya ketika itu masih lemah.

“Namun, saya terkejut bila diberitahu oleh adik tiri yang dia sudah pun dibenarkan keluar pada empat hari lalu.

“Pelik juga macam mana boleh keluar sedangkan ketika saya melawatnya sebelum itu keadaannya masih teruk dengan badannya penuh wayar,” katanya kepada Gempak.

Syafiq ditemui di lokasi penggambaran filem Hero yang diadakan di Balai Bomba Pusat Jalan Hang Tuah di sini, Selasa.

Syafiq turut berdoa agar bapanya segera sembuh seperti sediakala.

“Ketika saya melawat ayah sedar, cuma nampak sangat tidak bermaya dan matanya hanya terbuka melihat kehadiran saya.

“Tetapi dengan keadaannya itu dia tidak dapat berkata-kata ketika itu.

“Apa-apa pun saya harap dia lekas sembuh seperti sediakala,” katanya lagi.

Filem terbitan NS Star Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu merupakan filem pertama Syafq.

Ia menampilkan barisan pelakon seperti Hisyam Hamid, Mark Adam, Bell Ngasri, Syafiq Farhain, Elisha Sandha dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Mengangkat kisah mengenai anggota bomba, filem itu dijangka menemui penonton pada tahun hadapan.