Tutup

"Saya tiada masalah dengan Siti Sarah" - Misha Omar

"Saya tiada masalah dengan Siti Sarah" - Misha Omar
KATA Misha Omar, hubungannya dengan Siti Sarah sangat baik.
Penyanyi Misha Omar menegaskan, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan rakan seperjuangan, Siti Sarah Raisuddin ekoran tercetus isu ada individu yang menabur fitnah dan menuduh dirinya menggunakan ilmu hitam untuk memenangi Anugerah Juara Lagu 33 (AJL 33).

Menurut Misha, walaupun individu yang tampil memohon maaf itu adalah daripada wakil kelab peminat Siti Sarah, namun hubungan mereka tiada apa-apa masalah.
"Sebenarnya isu ini melibatkan individu itu sendiri dan ia tidak melibatkan sebarang persatuan yang dia wakili.

"Mereka sendiri mengakui komen yang dimuat naik tidak mewakili mana-mana orang atau kelab peminat sebaliknya adalah membabitkan diri mereka sendiri.


"Buat apa saya nak ada masalah dengan Sarah bukan dia yang buat masalah tapi individu itu sendiri. 

"Kami tetap berkawan malah bakal menjayakan Konsert Soul Sisters pada awal April depan.

"Mungkin isu ini akan jadi benda yang kami ketawa dan bualkan bersama serta saya berharap agar hubungan baik kami akan terus kekal selamanya," katanya kepada Gempak.

Dua individu yang didakwa membuat tuduhan Misha menggunakan ilmu bagaimanapun, sudah tampil  memohon maaf kepada penyanyi lagu Sampai Bila itu.

Kedua-dua individu berkenaan ialah Ahmad Azhar Azizi dan Fairuz Azwan.

Sebelum ini, Misha membuat laporan polis terhadap sesetengah individu yang menaburkan fitnah dan menuduh dia menggunakan ilmu hitam untuk memenangi AJL 33 baru-baru ini.