SIAPA yang tidak kenal kumpulan K-Pop popular, ASTRO yang menyanyikan lagu-lagu hit ‘1 In A Million’ dan ‘Crazy Sexy Cool’?

Pastinya bulan ini amat dinanti-nantikan rata-rata peminat kerana salah seorang anggotanya bakal hadir ke Malaysia.

Buat julung kalinya, anggota Cha Eun-Woo akan bertemu dengan peminatnya, AROHA (nama fandom ASTRO) di Malaysia sempena siri jelajah 2019 CHA EUN-WOO 1st Fan Meeting Tour [JUST ONE 10 MINUTE] In KUALA LUMPUR.

Sesi bertemu peminat Eun-Woo ini adalah kesinambungan daripada pelan 'Crazy 20' penganjur konsert, MacpiePro.

Dalam satu temu bual eksklusif bersama Astro AWANI, Eun-Woo mendedahkan bahawa beliau tidak sabar untuk bertemu dengan AROHA Malaysia.

“Ia kali pertama saya melawat ke Malaysia dan saya sebenarnya sedikit gementar tetapi saya tetap teruja!

“Saya berharap kami dapat meluangkan masa dan membuat kenangan indah bersama-sama,” kata Eun-Woo dalam temu buat eksklusif tersebut.



Eun-Woo atau nama sebenarnya Lee Dong-min juga sedang membuat persiapan untuk menghiburkan peminatnya kerana ingin memberikan tanggapan yang baik dalam pertemuan mereka yang pertama itu.

“Saya sedang membuat persiapan bertemu dengan AROHA Malaysia untuk acara bertemu peminat JUST ONE 10 MINUTE.

"Saya juga ingin memberikan tanggapan yang baik tentang ASTRO kepada peminat kami. Nantikanlah” ujarnya.




Apabila ditanya jika beliau ingin mencuba sebarang makanan Malaysia, Eun-Woo yang dikenali sebagai ‘Face Genius’ (lelaki yang sungguh tampan) berkata beliau gemar makan nasi goreng.

“Saya suka nasi goreng! Saya ingin cuba lebih banyak makanan Malaysia kali ini.

“Saya suka makanan yang lazat. Apabila saya berasa stres, saya suka makan bersama-sama rakan-rakan saya.

“Saya juga tahu bahawa landskap semula jadi Malaysia indah dan terdapat banyak tempat yang cantik,” tambahnya.

Beliau turut membuat kejutan dengan mengucapkan kata-kata manis dalam Bahasa Malaysia!

“Sayang. Aku rindu padamu. Aku cinta padamu,” ungkapnya sambil tersenyum sipu.

Eun-Woo merupakan salah seorang ahli kumpulan ASTRO yang bernaung di bawah syarikat pengurusan Fantagio Music Entertainment.


ASTRO dianggotai 6 ahli iaitu JinJin, MJ, Cha Eun-Woo, Monbin, Rocky dan Sanha dan membuat debut pada 2016.

Kerjaya seninya bermula pada 2016 dan beliau bergiat aktif menerusi beberapa bidang termasuk lakonan, pengacaraan dan duta produk.

Selain penyanyi, Eun-Woo juga telah membintangi beberapa drama dan web drama popular antaranya ’My ID is Gangnam Beauty’, ‘To Be Continued’, ‘Sweet Revenge’ and ‘Rookie Historian Goo Hae Ryung’.




Beliau juga pernah memenangi Anugerah Pelakon Rookie dan Anugerah Bintang Hallyu pada Anugerah Drama Korea ke-11.

Adakah anda teruja untuk bertemu dengan bintang K-Pop kegemaran anda ini?

Jika anda belum mendapatkan tiket untuk bertemunya, anda boleh layari laman web ticket.macpieticketing.com.

Jumpa di sana!