SELEPAS tiga tahun berehat, festival music rock terbesar di Malaysia, Rockaway akan kembali ke Malaysia pada Oktober ini dengan menampilkan lebih 30 kumpulan antarabangsa dan tempatan, termasuk Scorpions, Wolfmother, Butterfingers, Wings, Taking Back Sunday dan Third Eye Blind!

Rockaway tahun ini akan dibahagikan kepada dua segmen - Rockaway Weekender dan festival utama.

Menurut portal Star 2, The Rockaway Weekender merupakan satu festival mini yang akan diadakan pada 29 dan 30 Oktober di B Hillstand Sepang International Circuit sebelum sambutan festival utama (19 November 2016).

Kumpulan band ikonik German, Scorpions dan kumpulan veteran rock Malaysia, Wings dan Mayhem Muzza akan beraksi pada 29 Oktober, manakala pada 30 Oktober, kumpulan metal dari Australia, Wolfmother dan kumpulan tempatan seperti Artifak, WTNSS, dan Daarchlea akan mengambil bahagian.

Festival utama pula akan dianjurkan di Extreme Park Bukit Jalil.

Konsert tersebut akan menampilkan kumpulan band ikonik negara, Butterfingers, yang akan membuat kemunculan selepas lapan tahun.

Bukan itu sahaja, penyanyi tempatan terkenal, Alleycats, Zainal Abidin, Hujan x OAG, One Buck Short, Lyme, Prana dan ramai lagi dijangka akan beraksi pada festival ini.

Penonton yang berminat boleh membeli tiket di laman web Rockawayfest.com.

Sementara itu, di media sosial, peminat muzik rock dan indie melahirkan rasa teruja mereka dengan penganjuran festival ini menerusi hashtag #RockawayReturns.