Tutup

Search nama besar tapi sukar dapat tajaan

Search nama besar tapi sukar dapat tajaan
AMY: Kebanyakan syarikat tertentu lebih berminat memberi tajaan kepada artis antarabangsa berbanding artis tempatan.
KUALA LUMPUR: Setelah lebih tiga dekad dalam industri seni, Amy Search atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman menzahirkan rasa kecewa atas kesukaran mencari penaja, khususnya dalam menjayakan persembahan mereka.

Kata Amy, industri seni semakin ketandusan penaja artis tempatan, namun hal sebaliknya berlaku di mana kebanyakan syarikat tertentu lebih berminat memberi tajaan kepada artis antarabangsa.

Situasi berat sebelah itu masih lagi dirasakan oleh artis tempatan, termasuk kumpulan rock dengan nama besar itu.

Keadaan itu turut memberi kesan kepada mereka yang ketika ini dalam rangka membuat persembahan di Konsert Search: Live in Istana Budaya 2014.
"Masalah sukar mendapat penaja masih lagi berlaku walaupun Search sebuah kumpulan yang sudah 33 tahun berada dalam industri.

"Dalam 10 promosi yang kita lakukan, tiada satu pun yang mahu menaja. Walaupun begitu, kami teruskan juga konsert di Istana Budaya nanti demi peminat Search, walau tanpa tajaan," ujar Amy.
Sebagai bukti kumpulan tersebut masih mendapat tempat di hati pengikut setianya, tiket konsert yang dijadualkan berlangsung pada 4  hingga 7 Disember ini telah pun habis terjual.

Vokalis kumpulan rock tersohor negara itu berkata demikian ketika rakaman temubual bersama program Agenda AWANI.

Bercerita mengenai konsert di IB, Amy berkata, tiada elemen lakonan dan grafik LED akan digunakan pada konsert tersebut seperti yang dikatakan sewaktu sidang media sebelum ini.


Amy Search
Situasi berat sebelah itu masih lagi dirasakan oleh artis tempatan, termasuk kumpulan rock lagenda, Search.


Sebaliknya dalam konsert  tersebut, penonton hanya akan menyaksikan aksi daripada kumpulan Search dan barisan pemain selo dari kumpulan Paladin di atas pentas panggung berprestij itu.

“Kumpulan Search kembali kepada basic persembahan. Tiada lakonan, tiada props dan tiada grafik LED yang akan digunakan. Hanya Search dan tambahan instrumen selo kumpulan Paladin,” jelas Amy.

Amy berkata, selo dipilih kerana bunyi yang dikeluarkan bernada berat yang akan memberikan impak yang menarik jika digabungkan dengan irama rock & roll.

Semenjak dibentuk pada tahun 1981, kumpulan yang dianggotai oleh Yazid Ahmad (dram), Kid (gitar utama), Din (gitar) dan Nasir (bass) telah menghasilkan lebih 20 album studio yang terjual laris.

Album 'Cinta Buatan Malaysia', 'Langit dan Bumi', dan 'Mentari Merah di Ufuk Timur', masing-masing terjual lebih 20,000, 30,000 dan 50,000 unit, membolehkan syarikat rakaman mereka memperoleh Anugerah Emas untuk dua album pertama dan Anugerah Platinum untuk album ketiga itu.

Album keempat Search, 'Fenomena' yang dikeluarkan pada tahun 1989 telah berjaya terjual sebanyak 2 juta unit di Indonesia dan Malaysia.

Dalam album inilah termuatnya lagu malar hijau 'Isabella'.

Ikuti temubual penuh bersama Amy menceritakan pengalaman pahit manis Search sepanjang 33 tahun di dalam industri, dan konsert 'Search: Live In Istana Budaya 2014', di Agenda AWANI, 8:30 malam Sabtu ini.