SELEPAS memohon maaf secara terbuka, bintang K-pop, Jung Joon-young ditangkap atas dakwaan merakam dan menyebarkan video seks secara haram.

Agensi berita Yonhap melaporkan, pada Khamis, Mahkamah Daerah Pusat Seoul mengeluarkan waran tangkap untuk menahan penyanyi dan penulis lagu itu.

Minggu lalu, Jung mengakui merakamkan aksi hubungan seks dan menyebarkan video itu tanpa kebenaran sekurang-kurangnya 10 wanita.

Video seks itu disebarkan menerusi aplikasi sembang pada 2015 dan antara individu yang menerima rakaman itu adalah anggota BigBang, Seungri.

Jung dalam kenyataannya sebelum ini juga memberitahu, dia amat kesal dan bertaubat serta mengakui kesalahan besar yang dilakukannya sukar dimaafkan.

Serentak itu, Jung juga mengumumkan persaraannya dari industri hiburan.

BACA: Artis K-Pop, Jung Joon-young didakwa rakam video seks dengan 10 wanita