Penyanyi antarabangsa, Selena Gomez akan berehat sementara akibat masalah kesihatan, lapor media antarabangsa.

Portal CNN melapor, Selena mengumumkan bahawa dia akan berehat sementara daripada dunia muzik dan hiburan susulan serangan panik dan kemurungan.

Menerusi satu kenyataan, penyanyi berusia 24 tahun itu memdedahkan bahawa masalah kesihatan mental itu adalah kesan sampingan penyakit Lupus yang dihidapinya.

Oleh itu, Selena berkata dia kini memerlukan masa untuk menjaga tubuh dan kesihatannya.

“Seperti yang anda tahu, saya mendedahkan bahawa saya menghidapi Lupus, suatu penyakit yang boleh memberi kesan kepada pesakit dengan cara yang berbeza.

"Saya telah mendapati bahawa serangan panik dan kemurungan adalah antara kesan sampingan Lupus, yang boleh mencabar diri pesakit.

"Saya mahu menjadi proaktif dan beri tumpuan untuk mengekalkan kesihatan dan kebahagiaan saya. Oleh itu, saya memutuskan untuk berehat sementara,” kata Selena kepada wartawan.

Bagaimanapun, dia tidak memaklumkan tempoh cuti yang akan diambil.

Selena Gomez ketika ini sedang melakukan konsert jelajahnya, Revival di beberapa negara.