Sepasang suami isteri dari Mexico, Maine mengakui mengalami gangguan misteri dan kejadian aneh selepas membeli rumah ladang yang menjadi lokasi penggambaran filem seram The Conjuring di Rhode Island, Amerika Syarikat.

Pasangan Cory dan Jennifer Heinzen yang merupakan penyelidik paranormal sejak 10 tahun lalu bagaimanapun masih enggan meninggalkan rumah itu yang dibeli mereka pada Jun lalu.

“Kami membeli rumah ladang ini meskipun tahu ia memiliki sejarah yang gila. Persekitarannya nyata mempesonakan dan amat tenang, malah siap dengan sungai di bahagian belakang rumah serta sebuah kolam.

“Kami langsung jatuh cinta kepada rumah itu. Selain itu, sejarah keluarga Warrens menguatkan lagi minat kami untuk memiliki kediaman ini,” katanya kepada Sun Journal.

The Conjuring merupakan sebuah filem seram yang ditayangkan pada tahun 2013 yang dibintangi Vera Farmiga dan Patrick Wilson, yang membawa watak ED dan Lorraine Warren, berdasarkan kisah benar pasangan suami isteri itu.

Antara babak dalam filem The Conjuring.

Filem berkenaan mengisahkan tentang penyiasatan paranormal untuk membantu keluarga Perron (lakonan Ron Livingston dan Lili Taylor) yang mengalami peristiwa mistik di rumah mereka di Harrisville, Rhode Island pada tahun 1971.

Hampir dua bulan menetap di rumah itu, Cory mengakui berdepan gangguan misteri dan keadaan mulai seram.

Tambahnya, mereka pernah terdengar bunyi suara-suara pelik, hentakan kaki dan ketukan di sekitar rumah selain daun pintu terbuka dan tertutup dengan sendirinya.

“Agak sukar untuk tinggal di rumah itu. Ia kedengaran sangat ‘sibuk’. Kali pertama bermalam seorang diri di situ agak menyeramkan.

“Bohong kalau saya katakan saya tidak gementar, tetapi itulah tujuan utama saya,” tambah Cory.

Sementara itu, Jennifer tetap optimis tentang projek mereka untuk membuka rumah mereka kepada penggemar paranormal.

“Amat menakutkan sebenarnya tinggal di rumah ini kerana banyak perkara yang berlaku, namun ia tetap selesa bagi kami.

“Kami merancang untuk melestarikan sejarah rumah ini sebelum membukanya kepada pengunjung dan penyelidik paranormal hujung tahun ini,” katanya.