Seniwati filem Melayu klasik, Momo Latif meninggal dunia petang tadi pada usia 92 tahun di kediaman anaknya di Woodlands Ring Road, Singapura, lapor Berita Media Corp.

Allahyarhamah atau nama sebenarnya Marfuah Makarim menghembuskan nafasnya yang terakhir pada kira-kira 5.50 petang selepas berada dalam keadaan koma sehari semalam akibat darah tinggi.

Memetik laporan, Momo merupakan seorang penyanyi dan pelakon filem Melayu era 30-an hingga 70-an yang sering muncul dalam filem-filem arahan Allahyarham P. Ramlee, Mat Sentol dan Jamil Sulong.

Antara filem lakonannya yang cukup popular ialah filem 'Pendekar Bujang Lapok', di mana Momo memegang watak isteri Pendekar Mustar.

Selain itu, Allahyarhamah juga terkenal dengan nyanyian lagu-lagu seperti Merpati Dua Sejoli, Semenjak Berpisah, Tudung Periuk dan Jangan Main Mata.

Momo juga pernah menerima pingat penghormatan Johan Bintang Sarawak daripada Yang Dipertua Negeri Sarawak pada tahun 2007.