Shila Amzah raih tempat ketiga "I Am A Singer"

Shila Amzah raih tempat ketiga "I Am A Singer"
KUALA LUMPUR: Shila Amzah berjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan akhir "I Am A Singer" yang berlangsung di Changsha, China. 

Dia tewas kepada Han Lei dari China yang menduduki tangga pertama dan penyanyi Hong Kong, G.E.M di tempat kedua.  
Dalam pertandingan akhir yang disiarkan secara langsung di Hunan TV itu, Shila bersaing dengan empat lagi peserta termasuk Gary Chaw dari Malaysia dan Phil Chang dari Taiwan. 

Pada pusingan pertama, Shila berduet dengan penyanyi China, Huang Qishan menyampaikan lagu "When You Believe" nyanyian asal Whitney Houston dan Mariah Carey. 

Pusingan kedua pula, Shila beraksi solo dengan lagu popular Kpop, "Mama" nyanyian Exo-M. 

Sepanjang program itu, dia pernah mendapat tempat pertama mingguan menyampaikan lagu "Rolling In The Deep". 

Menjadi antara peserta kegemaran, Shila bagaimanapun pernah dikecam peminat di China minggu lalu berikutan tragedi kehilangan pesawat MH370.