BUAT kaki wayang yang gemarkan filem bergenre romantik, anda semestinya tidak mahu terlepas menonton Dilan 1991 karya dari Indonesia yang bakal ditayangkan di Malaysia pada 11 Julai ini.

Sekiranya anda gemar filem berjenis ‘tangkap leleh’ ini, Dilan 1991 merupakan sekuel bagi Dilan 1990 dan naskhah berkenaan menerima sambutan hangat daripada peminat filem di negara jiran itu.

Sebelum ini, Dilan 1990 mengisahkan ‘flashback’ percintaan dua remaja di Bandung pada tahun 90-an.

Milea (Vanesha Prescilla) dan Dilan (Iqbaal Ramadhan) bertemu sewaktu berada di sekolah menengah apabila Milea berpindah ke Bandung dari Jakarta.

Pertemuan yang bermula secara tidak sengaja itu merapatkan hubungan Milea dan Dilan untuk mengenali antara satu sama lain.

Sementara Dilan 1991 pula merupakan kesinambungan di antara dua merpati sejoli itu dan diadaptasi berdasarkan novel Dilan Bagian Kedua: Dia Adalah Dilanku Tahun 1991 karya Pidi Baiq dan masih diarahkan oleh Fajar Bustomi.

Sejak mula ditayangkan di Indonesia pada 28 Februari lalu, Dilan 1991 telah mencatat rekod seramai lima juta tontonan dalam tempoh lima hari ditayangkan.

Tidak cukup dengan itu, filem itu juga sudah memecah rekod panggung wayang di negara jiran itu dengan memiliki jumlah tontonan paling besar iaitu seramai 700,000 dalam masa sehari sahaja.

Pelakon utama Dilan 1991, Iqbaal mendakwa, pada hari pertama tayangan di Indonesia juga, filem lakonannya itu mengatasi kutipan filem Hollywood, 'Avengers: Endgame' .

Populariti jenama Dilan sebetulnya juga bukan lagi asing dalam kalangan pecinta-pecinta filem Indonesia di Malaysia.

Hal ini dapat dilihat berdasarkan komen yang dikongsi netizen di laman sosial Twitter.

Berikut antara reaksi penonton Malaysia yang disenaraikan Astro AWANI.