Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Siti impikan pementasan 'Siti Nurhaliza - The Muzikal', terbit biografi

Siti impikan pementasan 'Siti Nurhaliza - The Muzikal', terbit biografi
Bukan sahaja bergelar penyanyi, malah penyanyi yang popular dengan lagu Anta Permana juga sudah mempunyai empayar perniagaan.
PEJAM, celik, pejam, celik, sudah 24 tahun penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bertapak dalam bidang seni suara.

Siapa sangka, penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini mampu bertahan dalam industri yang penuh pancaroba ini.

Seperti filem terbitan Hollywood yang mengangkat diva tersohor antarabangsa seperti 'The Rocketman' dan 'Bohemian Rhapsody, Siti juga mengimpikan karier nyanyiannya dipentaskan.

Menjawab soalan peminat, apa yang ingin dicapai selepas 24 tahun bergelar anak seni, Siti Nurhaliza menyatakan bahawa dia teringin untuk mementaskan muzikal pentas Siti Nurhaliza untuk menceritakan susur-galur kariernya bergelar anak seni.
"Saya dah buat album dan macam-macam konsert, tapi apa yang  belum Siti dapat buat  ialah buat Muzikal Siti Nurhaliza, itu yang belum tercapai lagi," katanya.

"Saya juga ada perancangan untuk mengeluarkan buku biografi, mungkin pada tahun hadapan sebab nak pilih sempena 25 tahun tu agak istimewa sepanjang berada dalam industri."
Bukan sahaja bergelar penyanyi, malah penyanyi yang popular dengan lagu Anta Permana ini juga sukses dengan empayar perniagaan yang diasaskannya.

Setiap kali keraian sebegini, Siti pasti tidak melepaskan peluang untuk berjumpa dengan kelab peminatnya Siti Zoners untuk beramah mesra namun dengan adanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka harus akur dengan arahan tersebut untuk keselamatan bersama.

Meskipun tidak dapat berjumpa dengan peminatnya untuk meraikan ulang tahunnya itu, namun beliau tetap mengambil kesempatan untuk beramah-mesra dengan peminatnya menggunakan media sosial.

Semasa IG Live tersebut, beliau banyak berkongsi dengan peminatnya mengenai kenangan sepanjang berada dalam industri disamping menjawab soalan-soalan daripada peminatnya.

Pada masa sama, Siti Nurhaliza juga ingin mencuba menyanyikan lagu berentak jazz.

Siti turut menzahirkan rasa syukurnya kepada semua yang menyokongnya terutama kepada peminatnya yang menjadi sumber kekuatan sejak mula bertapak di dalam industri seni sejak 1 April, 1996.