Penyanyi Siti Nordiana diumumkan sebagai juara pertandingan akhir program Gegar Vaganza musim kedua yang diadakan secara langsung di auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini pada Ahad.

Siti Nordiana berjaya menewaskan lima peserta akhir lain iaitu Farahdhiya, Nassier Wahab, Haiza, Acong Sweet Child dan Ezad Lazim sekali gus berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000, pakej percutian, trofi dan peluang rakaman sebuah single terbaru terbitan Astro.

Penyanyi itu memberikan persembahan mantap membawakan lagu Putus Terpaksa, nyanyian asal Ziana Zain dan lagu battle Awak Kat Mana yang dinyanyikan secara duet dengan Acong.

Siti Nordiana turut memenangi anugerah Persembahan Terbaik pilihan penonton yang melayakkannya menerima wang tunai RM5,000.

Sementara itu tempat kedua dimenangi Farahdhiya dengan menerima habuan wang tunai sebanyak RM50,000 manakala Ezad di tempat ketiga dengan ganjaran wang tunai RM30,000.

Tempat keempat dimenangi oleh Nassier yang menerima wang tunai sebanyak RM15,000 dan tempat kelima dimenangi Acong membawa pulang RM10,000.

Walaupun berada di tempat akhir, Haiza tetap membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.

Kesemua peserta turut menerima trofi masing-masing.