SINGLE terbaharu Datuk Seri Siti Nurhaliza dilancarkan di semua pelantar digital bermula hari ini.

Lagu tersebut boleh dilanggani di Apple Music (itunes), Spotify, Joox dan KKBox.

Ini merupakan kerjasama yang pertama antara Siti Nurhaliza bersama Hael Husaini dan Ezra Kong.

Hael menyatakan hasrat untuk memberikan lagu ciptaannya kepada Siti Nurhaliza sejak Februari 2018 dan berjaya merealisasikannya apabila Siti tertarik dengan demo yang beliau hantar pada bulan Mei.

Lagu ini dirakamkan oleh Siti pada pertengahan Ogos lalu.

Menurut Siti, dia tertarik dengan lagu ciptaan Hael dan Ezra Kong ini sewaktu pertama kali mendengarnya.

“Tanpa berfikir panjang, saya bersetuju untuk merakamkan lagu yang berjudul Anta Permana kerana yakin dengan bakat yang dimiliki oleh dua komposer muda ini,” katanya.

Anta Permana diambil daripada perkataan Melayu Klasik yang bermaksud `tidak terkira' atau infiniti. Lagu ini mengisahkan cinta sejati yang tiada bandingannya.

Pemilihan judul lagu ini selain maknanya yang bertepatan lirik lagu, Siti juga berusaha memperkenalkan kembali perkataan Melayu Klasik yang jarang digunakan.

“Saya menaruh harapan yang tinggi dengan kemunculan single terbaharu ini dan berharap agar para peminat muzik tempatan akan menyukainya.

“Anta Permana adalah sebuah lagu yang segar, mesra telinga (catchy) serta ada keunikan dengan gabungan muzik moden dan klasik,” katanya.

Siti juga telah menjalani penggambaran muzik video yang diarahkan oleh Rifaiee Omar dari Rio Films Production.

Muzik video ini dijangka akan boleh ditonton di youtube Vevo DatoSNurhalizaVEVO bermula minggu hadapan.