PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza terharu menerima kunjungan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah ke Konsert Karya Agung Pak Ngah yang berlangsug di Istana Budaya malam tadi.

Dr Mahathir dan isteri tiba di Panggung Sari, Istana Budaya sepuluh minit lebih awal sebelum konsert bermula dan turut hadir bersama beliau ialah Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Hajah Zuraida Kamaruddin.

Siti selepas selesai persembahan pembukaan dengan lagu Cindai sempat mengalukan kedatangan Tun suami isteri dan Zuraida.

“Terima kasih ayahanda Tun M dan bonda Tun Siti kerana sudi meluangkan masa memenuhi undangan saya untuk hadir sama dalam konsert istimewa ini.

“Saya terharu dan rasa bertuah kerana ayahanda dan bonda dapat bersama-sama kami pada malam ini walaupun sibuk dengan kerja.

“Walaupun jadual harian padat Tun berdua dan Yang Berbahagia Hajah Zuraida berpenat lelah sampai ke sini. Terima kasih sekali lagi,” katanya sebelum meneruskan persembahan dengan lagu medley Balqis dan Hati Kama.

Dalam pada itu Siti turut memuat naik foto kenang-kenangan yang dirakam bersama Tun M dan Tun Siti selepas tamat konsert.

Menerusi posting yang dimuat naik jam 11 pagi tadi (Jumaat), Siti sekali lagi merakamkan ucapan penghargaan dan rasa gembira beliau kerana kesudian Perdana Menteri serta isteri ke Konsert Karya Agung Pak Ngah.

“Terima kasih YAB ayahanda Tun Mahathir dan YABhg bonda Tun Siti Hasmah kerana sudi meluangkan masa menghadiri konsert Karya Agung Pak Ngah malam tadi.

“Saya dan seluruh produksi ingin mengucapkan terima kasih di atas kesudian Tun berdua hadir memberikan sokongan walaupun jadual Tun padat dan sibuk. Saya sangat menghargai dan gembira dengan kehadiran Tun berdua,” tulisnya.

Konsert Karya Agung Pak Ngah Datuk Suhaimi Mohd Zain bersama Orkestra Tradisional Malaysia dan Datuk Seri Siti Nurhaliza berlangsung selama dua hari di Panggung Sari, Istana Budaya bermula semalam dan hari ini (14 dan 15 November).

Artis lain yang turut diundang untuk bersama-sama mengenang Allahyarham Pak Ngah ialah Ernie Zakri, Syamel, Asmidar dan Roger.