ULANG tahun kelahiran ke-40, mustika hati Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin yang disambut pada setiap 11 Januari sentiasa dinanti penuh teruja oleh peminat-peminat penyanyi itu.

Ke mana sahaja Siti Nurhaliza mengadakan persembahan, setiap kali melancarkan album baharu atau dalam apa setiap aktiviti melibat peminat-peminatnya, kumpulan penyokong tegar penyanyi itu akan sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi.

Selesa menggelarkan mereka sebagai Sitizoner, kumpulan yang difahamkan dianggotai oleh belasan ribu peminat Siti Nurhaliza menyayangi penghibur itu seperti saudara kandung mereka sendiri.

Dan antara yang menyertai kelab Sitizoner sejak dari awal penubuhan ialah Azwan Hashim yang berkongsi keterujaannya untuk meraikan ulang tahun kelahiran ke-40 penyanyi yang diminatinya itu.

Menurut Azwan, dia bersama-sama rakan-rakannya akan berhimpun pada 12 Januari (Sabtu) ini bagi menyatakan rasa kasih dan sayang mereka pada Siti Nurhaliza dalam sebuah majlis yang sederhana.

Sekalipun, sebelum ini majlis yang sama pernah dianjurkan, namun untuk kali ini, sambutan itu, jelas Azwan, akan lebih bermakna kerana kehidupan Siti Nurhaliza sudah berubah sejak kehadiran bayi perempuan, Siti Aafiyah.

"Sudah tentu kebahagiaan Datuk Siti juga kebahagiaan kami dalam Sitizoner. Kami tahu Datuk Siti sentiasa memberi sokongan pada Sitizoner. Dan sebagai tanda sokongan kami kepada beliau, kami mahu raikan beliau dalam majlis yang sangat istimewa pada hari Sabtu ini," kata Azwan dalam perbualan dengan Astro AWANI.
AZWAN HASHIM (kiri) dan Rozi Abd. Razak (dua dari kiri) bersama Siti Nurhaliza dan ahli kelab Sitizoner.
Sitizoner dilihat sebagai sebuah kelab peminat artis yang cukup aktif dan mempunyai komuninasi yang sangat baik sesama ahli.

Dengan kehadiran Rozi Abd. Razak (yang juga pengurus Siti Nurhaliza) sebagai tunggak utama Sitizoner, perjalanan aktiviti kelab berkenaan sangat terurus.

Tidak hanya di Malaysia, bahkan Sitizoner juga ada di Indonesia yang difahamkan jumlah keanggotaannya juga sangat luar biasa.

Bagi Azwan, selagi Siti Nurhaliza aktif dalam bidang seni, Sitizoner akan terus aktif memberi sokongan moral kepada penghibur kesayangan ramai.

Sempena kelahiran ke-40 Siti Nurhaliza pada Jumaat ini, Azwan berdoa artis yang diminatnya itu akan diberi kesihatan yang baik selain dimurahkan rezeki.

"Semoga Datuk Siti diberikan kesihatan yang baik untuk terus menghiburkan seluruh rakyat Malaysia dan akan terus membanggakan negara. Kami percaya, Datuk Siti mampu untuk mengharumkan nama negara di mata dunia," ujar Azwan yang juga tidak sabar-sabar untuk menonton konsert solo Siti Nurhaliza bulan depan.

Kepada semua peminat Siti Nurhaliza, ayuh kita sama-sama raikan ulang tahun ke-40 biduanita itu dengan mengirimkan ucapan istimewa di Astro AWANI.

Buat Siti Nurhaliza, selamat har lahir dari kami di Astro AWANI. Teruskan melangkah, menempa kejayaan. Doa kami sentiasa bersamamu.

Happy Golden 40th, Tokti!